Tawaran kerangka dasar luar yang lebih strategik dari Dr Sam

Iklan
Mohd Afifi (gambar kecil).

DASAR luar sering dianggap sebagai bidang yang jauh daripada kehidupan seharian rakyat. Ia dikaitkan dengan sidang antarabangsa, lawatan diplomatik, kenyataan bersama dan hubungan antara kerajaan.

Hakikatnya, dalam dunia yang semakin saling bergantung, peperangan yang berlaku ribuan kilometer dari Malaysia boleh meningkatkan harga tenaga, kos penghantaran, makanan dan akhirnya sampai terus ke dapur rakyat.

Iklan
Iklan

Atas sebab itu, penekanan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, atau Dr Sam, mengenai hubungan antara keselamatan negara, dasar luar dan keupayaan ekonomi dalam perbahasan Belanjawan 2027 mempunyai nilai yang lebih luas daripada perbahasan diplomatik semata-mata.

Dr Sam memberikan takrif keselamatan yang menarik apabila menegaskan “Keselamatan negara bukan sekadar berkait dengan pertahanan dan kawalan sempadan. Ia turut melibatkan bekalan tenaga, kestabilan ekonomi, laluan perdagangan serta keupayaan diplomatik.”

Iklan

Pandangan Dr Sam ini selari dengan perkembangan konsep keselamatan pasca-Perang Dingin. Sarjana terkemuka Barry Buzan dan Copenhagen School telah lama memperluaskan kajian keselamatan melangkaui sektor ketenteraan kepada dimensi politik, ekonomi, kemasyarakatan dan alam sekitar. Keselamatan sebuah negara, dengan kata lain, tidak lagi boleh dinilai hanya melalui kekuatan angkatan tentera.

Ini penting kerana negara pada abad ke-21 boleh mengalami tekanan strategik tanpa satu das tembakan pun dilepaskan di wilayahnya. Gangguan rantaian bekalan, sekatan ekonomi, krisis makanan, serangan terhadap laluan perkapalan atau pergantungan kepada teknologi dan sistem kewangan asing boleh mencipta kerentanan nasional.

Iklan

Ahli sains politik Henry Farrell dan Abraham Newman menamakan fenomena ini sebagai “weaponized interdependence”. Dalam ekonomi dunia yang sangat saling berhubung, negara yang menguasai nod penting dalam jaringan kewangan, teknologi atau perdagangan boleh menggunakan kedudukan itu sebagai instrumen tekanan.

Newman mengingatkan bahawa rangkaian globalisasi yang dibina untuk meningkatkan kecekapan juga boleh menjadi sumber paksaan geopolitik.

Maka persoalan dasar luar Malaysia bukan lagi sekadar dengan siapa kita bersahabat, tetapi sejauh mana jaringan antarabangsa kita meningkatkan daya tahan negara apabila berlaku kejutan.

Diplomasi ASEAN dan Myanmar

Dalam konteks serantau, krisis Myanmar dan Rohingya menjadi ujian kepada keupayaan ASEAN. Konflik berpanjangan mempunyai dimensi kemanusiaan, tetapi pada masa sama boleh menghasilkan aliran pelarian, jenayah rentas sempadan dan tekanan terhadap pentadbiran negara jiran.

Dr Sam menggesa Malaysia terus mendorong penyelesaian politik terhadap Myanmar melalui pendekatan yang “lebih tegas, tersusun dan berkesan”.

Beliau turut mencadangkan supaya Dokumen Pendaftaran Pelarian diperkukuh, perlindungan data diperjelaskan dan proses penentuan status dilaksanakan secara telus, di samping pelan tindakan serta garis masa yang jelas bagi menangani keberadaan warga Myanmar di Malaysia.

Cadangan tersebut mempunyai persamaan dengan pandangan pakar ASEAN, Rizal Sukma, yang pernah menekankan keperluan mekanisme pemantauan dan pematuhan, bantuan kemanusiaan yang mengambil kira realiti tempatan serta dialog yang melibatkan semua pihak berkepentingan di Myanmar.

Ertinya, diplomasi ASEAN memerlukan bukan sahaja konsensus tetapi mekanisme pelaksanaan.

Ini prinsip penting: dasar kemanusiaan tanpa sistem pentadbiran yang tersusun akhirnya boleh melemahkan matlamat kemanusiaan dan keselamatan secara serentak.

Tidak Memilih Blok, Tetapi Memilih Kepentingan

Persaingan Amerika Syarikat-China dan kemunculan kerangka seperti BRICS pula menjadikan ruang diplomatik negara sederhana semakin kompleks.

Dalam ucapannya, Dr Sam mengambil pendekatan pragmatik terhadap BRICS. Malaysia sebagai negara rakan perlu menggunakan platform itu bagi mempelbagaikan perdagangan, menarik pelaburan dan memperluas kerjasama teknologi.

Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa “Penyertaan dalam mana-mana kerangka antarabangsa hendaklah dinilai berdasarkan manfaat yang benar-benar diperolehi Malaysia.”

Ini pendekatan yang wajar. Keanggotaan atau penyertaan dalam organisasi antarabangsa tidak seharusnya menjadi simbol prestij diplomatik semata-mata. Hasilnya perlu boleh diukur melalui perdagangan tambahan, pelaburan berkualiti, pemindahan teknologi, akses pasaran, peluang kepada syarikat Malaysia dan penciptaan pekerjaan.

Profesor Kuik Cheng-Chwee, antara sarjana terkemuka mengenai strategi negara kecil, menghuraikan neutraliti Malaysia sebagai bentuk hedging, iaitu strategi mengurangkan risiko dengan tidak memilih pihak secara mutlak, sambil mempelbagaikan hubungan dengan pelbagai kuasa.

Beliau menegaskan bahawa neutraliti Malaysia bersifat aktif, inklusif dan adaptif, bukannya pasif.

Dalam huraian beliau yang lain, pendekatan negara kecil boleh dirumuskan sebagai “taking positions but not sides”, iaitu mempunyai pendirian tetapi tidak menyerahkan autonomi strategik kepada satu blok kuasa.

Kerangka ini hampir selari dengan seruan Dr Sam bahawa Malaysia tidak boleh terperangkap dalam persaingan blok kuasa dunia.

Beliau berkata: “Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat perlu dihormati bukan kerana ia berdiri di belakang mana-mana kuasa besar.”

Sebaliknya, penghormatan perlu lahir daripada “prinsip yang teguh, pendirian yang jelas dan kebijaksanaan untuk menentukan jalannya sendiri”.

Selat Hormuz: Geopolitik Sampai ke Dapur

Dimensi paling jelas yang menghubungkan dasar luar dengan kehidupan rakyat ialah keselamatan tenaga.

Dr Sam mengingatkan bahawa ketegangan di Selat Hormuz membuktikan konflik jauh dari Malaysia mampu meningkatkan harga minyak, kos logistik, menjejaskan bekalan tenaga dan akhirnya menekan kos sara hidup.

Beliau mengaitkan keselamatan tenaga dengan kestabilan fiskal serta menyeru perancangan terhadap gangguan bekalan, termasuk memperkukuh stok tenaga dan mengurangkan pendedahan kepada kejutan luaran.

Perkembangan semasa menguatkan hujah tersebut. Ketua Pengarah Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Dr Fatih Birol, menyifatkan krisis yang menjejaskan aliran tenaga melalui Selat Hormuz pada 2026 sebagai “the greatest threat to global energy security in history”.

Pada 2 Oktober 2026, Birol sekali lagi memberi amaran bahawa kesan krisis Hormuz masih serius, khususnya terhadap pasaran diesel. IEA menyatakan ratusan juta tong stok kecemasan telah dilepaskan bagi membantu menampung jurang bekalan dan menstabilkan pasaran.

Di sinilah geopolitik memasuki dapur rakyat. Apabila harga minyak dan diesel meningkat, kos pengangkutan naik.

Apabila kos pengangkutan meningkat, harga makanan, bahan mentah dan barangan pengguna turut menerima tekanan.

Jika kerajaan mahu menyerap kenaikan tersebut melalui subsidi atau bantuan, kedudukan fiskal negara pula tertekan.

Justeru, keselamatan tenaga, keselamatan ekonomi dan kemampanan fiskal sebenarnya merupakan satu rantaian keselamatan yang sama.

Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya tiga lapisan ketahanan, iaitu diplomasi yang berkesan untuk mengurangkan risiko konflik dan menjamin akses pasaran; kepelbagaian sumber tenaga, perdagangan dan rantaian bekalan; serta ruang fiskal yang mencukupi untuk melindungi rakyat apabila berlaku kejutan.

Kesimpulannya, dalam dunia yang dicirikan oleh complex interdependence, dasar luar ialah sebahagian daripada dasar keselamatan tenaga, perdagangan, pekerjaan dan kos sara hidup.

Di sinilah kekuatan utama hujah Dr Sam. Dasar luar yang baik bukan sekadar dasar yang kedengaran berprinsip di pentas antarabangsa tetapi ia mesti mempunyai keupayaan untuk melindungi kepentingan negara apabila sistem antarabangsa bergolak.

*** Mohd Afifi Abdul Razak ialah penganalisis politik tempatan