KEPUTUSAN Mahkamah Konstitusi (MK), mahkamah tertinggi di Indonesia tentulah memeranjatkan. Dalam perbicaraan tentang pertikaian berhubung dengan syarat kelayakan pencalonan Wakil (Naib) Presiden sekarang, MK memutuskan tidak menemui bukti beliau memiliki sijil pendidikan yang setara dengan sijil sekolah menengah atas (SMA). SMA adalah syarat minimum bagi calon presiden dan calon wakil presiden.
Ini bermakna bahawa Gibran tidak memenuhi syarat asas yang diperlukan untuk menjadi calon wakil presiden dalam pilihan raya tahun 2024.
Hakim Arsul Sani sewaktu membacakan keputusan MK pada 6 Oktober lalu berkata, “Setelah mahkamah meneliti semua bukti yang dikemukakan pihak-pihak terlibat serta fakta yang terungkap dalam perbicaraan, mahkamah tidak menemui dokumen yang menunjukkan Gibran Rakabuming Raka memiliki ijazah, sijil atau diploma sebagai bukti beliau telah menamatkan pendidikan di luar negara yang setaraf dengan sekolah menengah atasan atau yang setara dengannya.”
Keputusan MK ini tentulah menggegarkan Indonesia. Walaupun selama ini banyak khabar angin mengatakan bahawa Gibran tidak menamatkan pendidikannya baik di Orchid Park Secondary School, Singapura mahupun di UTS Insearch, Sydney, Australia, tetapi hal ini tidak pernah dibuktikan. Pada waktu yang sama, Gibran atau penyokongnya tidak pernah secara telus menunjukkan ijazahnya.
Beberapa bulan lalu Profesor Denny Indrayana, seorang pakar hukum tatanegara mengasaskan sayembara (pertandingan) mencari ijazah Gibran. Menurut beliau, langkah itu semata-mata untuk membuktikan telahan dan khabar angin tentang tiadanya ijazah Gibran tidak benar. Maka beliau menawarkan jumlah yang besar bagi sesiapa yang boleh menunjukkan ijazah Gibran. Sayembara ini mendapat perhatian luar biasa. Malah tawaran awal Rp100 juta membengkak menjadi berpuluh kali ganda dengan lebih 176 orang lain menyatakan kesediaan untuk menambah jumlah yang ditawarkan. Namun tiada siapa, termasuk penyokong tegar Gibran dapat menunjukkan ijazah tersebut.
Denny Indrayana lantas mengambil langkah selanjutnya, mengajukan permohonan Perselisihan Hasil Pemilihan Umum (PHPU) Presiden dan Wapres tahun 2024 ke MK. Turut mengajukan permohonan selain beliau ialah Komiti Independen Pemantauan Pemilu (KIPP), Parti Ummat, enam warga yang bergabung dalam Purnawirawan Perajurit Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan tiga individu lainnya.
Para pemohon pada dasarnya mahu MK mengesahkan bahawa syarat pendidikan Gibran tidak mencukupi lalu pencalonannya tidak sah dan dengan sendirinya pelantikannya sebagai wakil presiden juga tidak sah. Pemohon juga mahu membuktikan bahawa pencalonan Gibran “cacat administratif.” Ini bermakna surat keterangan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan ketika itu adalah salah. Malah Komisi Pemilihan Umum (KPU) yang mengendalikan pemilihan pada tahun 2024 itu dikatakan turut bersekongkol untuk membolehkan pencalonan Gibran dengan mengubah beberapa syarat asas. Denny Indrayana menuduh ada manipulasi pentadbiran yang bersifat terstruktur, sistematis dan terencana dalam soal ini.
Seyogia diingat pada tahun 2023 MK yang diketuai oleh Usman Ismail telah memutuskan bahawa calon presiden boleh dipilih daripada mereka yang berumur 36 tahun (umur Gibran ketika itu), bukan lagi 40 tahun seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Indonesia. Keputusan meminda batas usia itu semata- mata bagi membolehkan Gibran yang pada masa itu Walikota Solo bertanding. Kontroversi keputusan MK itu sendiri tidak berakhir dengan kemenangan pasukan Prabowo-Gibran pada tahun 2024.
Oleh sebab keputusan MK adalah final and binding maka keputusan itu kekal. Tetapi badan yang mengawasi MK (Majlis Kehormat MK atau MKMK) memutuskan bahawa terdapat perlanggaran etika membabitkan Usman Ismail. Beliau digugurkan daripada kedudukannya sebagai Ketua MK. Usman Ismail ialah bapa saudara Gibran.
Apakah yang akan terjadi pada Gibran ekoran keputusan MK yang terbaharu? Apakah beliau layak dimakzulkan (impeachment) akibat tidak memenuhi syarat kelayakan minimum pendidikan sebagai calon? MK sendiri nampaknya mengambil jalan selamat dalam soal ini. Hakim MK, Adies Kadir menjelaskan bahawa walaupun MK mendapati tidak ada bukti Gibran ada sijil SMA atau yang setara tetapi “tidak lantas membuat MK dapat membatalkan atau mendiskualifikasi Gibran dari jabatannya sebagai Wakil Presiden.” Secara hukum MK berpandangan bahawa Gibran “sudah tidak lagi berstatus sebagai calon wakil presiden kerana sudah rasmi dilantik dan mengucapkan sumpah jabatan pada 20 Oktober 2024.”
MK kata beliau lagi (dipetik secara langsung) “tidak mempunyai kewenangan untuk untuk mendiskualifikasi dalam konteks ini dan menyerahkan persoalan keabsahan syarat tersebut kepada lembaga berwenang sesuai dengan Undang-Undang Dasar 1945, seperti Komisi Pemilihan Umum (KPU) atau membuka peluang diskursus politis di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) termasuk wacana pemakzulan yang bersifat politis dan panjang.”
Banyak pakar tatanegara, perundangan dan pemerhati politik melihat jalan ke arah pemakzulan Gibran tidak mudah. Prosesnya panjang dan berliku-liku. Dalam keadaan Presiden Prabowo menguasai gabungan lebih 80 peratus perwakilan dalam Parlimen, semua ketua parti dan parti yang bergabung menunggu isyarat beliau. Setakat ini Prabowo masih belum membuat sebarang komentar mengenai keputusan MK.
Parti besar yang tidak bergabung dengan pemerintah adalah Parti Demokrasi Indonesia – Perjuangan (PDI-P) yang dipimpin oleh Ibu Megawati Sukarnoputri. PDI-P juga harus berhati-hati bagi mengelakkan parti itu dianggap mengambil kesempatan membalas dendam terhadap keluarga Jokowi. Memang dalam kalangan masyarakat sivil, pelajar dan warganet, isu ini menjadi besar.
Anggota DPR dan fraksi parti Indonesia yang berkuasa tidak boleh mendiamkan diri. Rakyat boleh bangkit mendesak tindakan ke atas Gibran. Prabowo kebelakangan ini sudah menampakkan beberapa langkah drastik untuk menjauhkan diri daripada masalah keluarga Jokowi. Selama dua tahun di tampuk pemerintahan, banyak pihak masih menganggap beliau didalangi oleh Jokowi.
Maka itu tindakan beliau mengetepikan Ketua Kepolisian Negara (kapolri), Listyo Sigit Prabowo, loyalis Jokowi yang digantikan dengan Suyudi Ario Seto dianggap strategi yang baik. Pada waktu yang sama berlaku rombakan besar-besaran dalam pasukan polis. Besar kemungkinan beliau akan juga menggantikan Ketua TNI dan juga Peguam Negara selepas ini. Beliau juga nampaknya perlahan-lahan mulai menyingkirkan beberapa orang menteri daripada era Jokowi.
Apapun yang bakal terjadi pada Gibran bergantung pada Prabowo. Banyak yang mengatakan Prabowo perlu bertindak mengikut keperluan strategiknya dan tuntutan rakyat. Bukan atas dasar berterima kasih pada Jokowi.
*Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau banyak menulis tentang sastera, budaya dan politik Indonesia