Bila had laju 30km/j zon sekolah akan dilaksanakan?

Iklan
Kemalangan boleh berlaku bila-bila masa dan mangsanya mungkin seorang kanak-kanak yang baru beberapa saat meninggalkan pagar sekolah.

BERAPA ramai lagi pelajar perlu menjadi korban sebelum kawasan sekolah benar-benar dianggap selamat? Soalan itu sudah tidak boleh lagi dianggap sekadar retorik. Rekod tahun ini sahaja cukup membimbangkan.

Pada Mei lalu, Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Batu Pahat, maut dilanggar van ketika keluar dari pagar sekolah.

Iklan
Iklan

Sebelum itu, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, maut selepas dirempuh kereta yang terbabas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Kota Bharu.

Pada September, dua beradik pula dilanggar motosikal ketika melintas di lintasan pejalan kaki di hadapan sebuah sekolah di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Iklan

Satu lagi tragedi menyayat hati berlaku di Pontian, Johor pada Oktober apabila tiga beradik yang dalam perjalanan pulang selepas mendapati sekolah ditutup akibat jerebu maut dalam kemalangan dengan sebuah lori.

Kemalangan melibatkan pelajar menjadi isyarat cukup jelas untuk mempercepatkan penguatkuasaan had laju 30 kilometer sejam (km/j) serta penyediaan kemudahan keselamatan. Gambar fail

Iklan

Empat kejadian, beberapa lokasi dan keadaan berbeza. Namun mesejnya satu, keselamatan anak-anak ketika berada di sekitar sekolah masih belum boleh dianggap terjamin.

Kes-kes ini sepatutnya menjadi isyarat cukup jelas untuk mempercepatkan penguatkuasaan had laju 30 kilometer sejam (km/j) serta penyediaan kemudahan keselamatan seperti bonggol, lintasan pejalan kaki yang lebih selamat, lampu amaran dan papan tanda digital di zon sekolah.

Namun persoalannya, mengapa had laju 30 km/j masih belum dapat dikuatkuasakan? Sampai bila perlu diteliti? Rakyat faham proses perundangan mengambil masa.

Pindaan undang-undang perlu melalui penelitian, penyelarasan antara agensi serta mengambil kira akta dan peraturan sedia ada.

Tetapi kemalangan tidak menunggu mesyuarat selesai. Kemalangan boleh berlaku bila-bila masa dan mangsanya mungkin seorang kanak-kanak yang baru beberapa saat meninggalkan pagar sekolah.

Apa yang sukar difahami ialah apabila sesuatu langkah keselamatan sudah dikenal pasti, tetapi pelaksanaannya masih memerlukan tempoh yang panjang. Nak teliti apa lagi?

Setiap pagi, ribuan anak-anak terpaksa berkongsi ruang dengan kereta, motosikal dan van penghantar barang di sekitar pintu sekolah yang sepatutnya menjadi antara kawasan paling terkawal.

Kerajaan tidak boleh lagi berselindung di sebalik ayat bahawa perkara itu “sedang diteliti”.

Keselamatan anak-anak bukan dasar yang hanya perlu bergerak selepas ada kematian.

Penyelesaiannya juga bukan perkara baharu. Had laju lebih rendah, bonggol, lintasan pejalan kaki bertingkat, lampu amaran, kamera penguatkuasaan, penghadang keselamatan dan pengasingan laluan kenderaan dengan pejalan kaki semuanya sudah diketahui.

Yang kurang ialah pelaksanaan. Jika pewartaan had laju 30 km/j masih memerlukan masa, kerajaan perlu melaksanakan langkah sementara tanpa menunggu tragedi berikutnya.

Kenal pasti sekurang-kurangnya sekolah yang mempunyai risiko keselamatan paling tinggi di seluruh negara.

Pasang bonggol dan raised crossing, lampu amaran solar serta penghadang pejalan kaki.

Hadkan pergerakan kenderaan di hadapan pagar sekolah ketika waktu puncak dan kawal kemasukan van penghantar barang ketika murid sedang keluar masuk.

Jangan tunggu semuanya sempurna untuk menyelamatkan nyawa.

Dalam masa sama, penguatkuasaan tidak boleh bermusim. Kita sudah terlalu biasa melihat pola yang sama – kemalangan berlaku, video tular, operasi penguatkuasaan digerakkan, anggota ditempatkan di kawasan sekolah untuk beberapa hari dan selepas perhatian awam reda, keadaan kembali seperti biasa.

Itu bukan penguatkuasaan. Itu tindak balas sementara. Papan tanda 30 km/j juga tidak membawa makna jika tiada tindakan terhadap pemandu yang memecut melebihi had di hadapan sekolah.

Sikap pengguna jalan raya turut perlu ditegur keras. Masih ada yang memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon ketika memandu, memecut ketika kanak-kanak sedang melintas dan menganggap beberapa saat yang dapat dijimatkan lebih berharga daripada keselamatan orang lain.

Justeru, pendekatan perlu berubah daripada “kita akan bertindak” kepada “kita bertindak sekarang!” Setiap sekolah wajar diaudit dari sudut keselamatan jalan raya.

Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan pihak berkuasa tempatan perlu duduk semeja dan menyediakan pelan tindakan yang mempunyai sasaran, tempoh masa serta pihak yang bertanggungjawab.

Umumkan sekolah yang sudah dilengkapi ciri keselamatan dan kemajuan pelaksanaannya, bukan sekadar jumlah peruntukan yang diluluskan.

Kerana apabila kita memandu di kawasan sekolah, kita berkongsi jalan dengan kanak-kanak yang belum mampu menilai bahaya seperti orang dewasa.

Kepada pengguna jalan raya, tolonglah perlahankan kenderaan di kawasan sekolah.

Anak yang melintas di hadapan kita itu mungkin anak orang lain tetapi esok mungkin anak kita sendiri. Keselamatan mesti bermula sebelum tragedi, bukan selepas.

Menteri, tolonglah jangan kecewakan ibu bapa lagi!

*Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif Sinar Harian