RESORTS World Langkawi, milik dan kendalian Genting Malaysia Berhad, bersama ONE°15 Marina, anak syarikat SUTL Enterprise Limited (SUTL) bekerjasama membangunkan ONE°15 Marina Langkawi.
Kerjasama strategik itu dijangka memperkukuh kedudukan Langkawi sebagai hab pelancongan marin dan pelayaran kapal layar utama di Asia Tenggara.
ONE°15 Marina Langkawi akan menyediakan lebih 90 ruang tambatan dengan kapasiti menampung kapal layar mewah sehingga 140 kaki panjang.
Marina berkenaan dijangka menerima kapal layar pertama pada separuh kedua tahun 2027 dan menawarkan kemudahan premium kepada pemilik kapal layar, pengendali sewaan serta pelancong rekreasi.
Terletak di Langkawi yang dikenali sebagai ‘Permata Kedah’, marina itu akan menjadi antara pintu masuk utama ke kawasan pelayaran terkenal di sekitar pulau berkenaan.
Kemudahan yang ditawarkan termasuk perkhidmatan sewaan kapal layar, aktiviti jelajah pulau, pelayaran matahari terbenam serta pengalaman marin eksklusif mengikut keperluan pelanggan.
Pengunjung turut mendapat akses kepada kemudahan hospitaliti, penginapan, makanan dan minuman serta hiburan yang ditawarkan di Resorts World Langkawi.
Langkawi yang terletak di Laut Andaman antara Singapura dan Phuket merupakan persinggahan semula jadi bagi kapal layar yang melalui salah satu laluan pelayaran utama di Asia Tenggara.
Selain infrastruktur pelancongan yang kukuh dan rangkaian penerbangan antarabangsa, status pulau bebas cukai turut memberi potensi kepada Langkawi untuk berkembang sebagai destinasi pelancongan marin bertaraf dunia.
Presiden Genting Malaysia Berhad, Lee Thiam Kit berkata, kerjasama itu diharap dapat memperkukuh daya tarikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan pulau bertaraf antarabangsa.
"Selain dapat memberi lebih banyak peluang kepada pengunjung meneroka keindahan pulau dan perairannya.
"Kerjasama berkenaan turut menyokong aspirasi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk memperkukuh kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia melalui pengembangan produk dan pengalaman pelancongan," ujarnya.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SUTL Enterprise Limited, Arthur Tay berkata, pembangunan ONE°15 Marina Langkawi merupakan pencapaian penting dalam usaha memperluas rangkaian marina syarikat selain memperkukuh komitmen membangunkan destinasi tepi laut bertaraf tinggi di Asia.
"Kedudukan marina itu antara ONE°15 Marina Sentosa Cove di Singapura dan ONE°15 Marina Panwa Phuket di Thailand akan melengkapkan laluan pelayaran serantau.
"Dalam masa sama ia membolehkan pemilik kapal layar menikmati pengalaman pelayaran yang lebih lancar merentasi destinasi berkenaan," katanya.