JAKARTA - Indonesia menetapkan tiga lapangan terbang di Jawa sebagai alternatif bagi penerbangan domestik dan antarabangsa yang dialihkan susulan abu gunung berapi daripada letusan Anak Krakatau.
Langkah itu diambil selepas jumlah lapangan terbang yang ditutup meningkat kepada enam apabila Lapangan Terbang Husein Sastranegara di Bandung, Jawa Barat ditutup pada tengah hari Ahad.
Menteri Pengangkutan, Dudy Purwagandhi berkata, lapangan terbang alternatif itu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati di Majalengka, Jawa Barat; Lapangan Terbang Antarabangsa Jenderal Ahmad Yani di Semarang, Jawa Tengah; dan Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Sidoarjo, Jawa Timur.
"Terdapat beberapa lapangan terbang di Jawa yang kami sediakan sebagai alternatif untuk pendaratan penerbangan dari luar Jawa serta penerbangan antarabangsa,” katanya dalam sidang media secara dalam talian pada Ahad.
Lima lagi lapangan terbang yang terjejas ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Lapangan Terbang Radin Inten II di Lampung, Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Lapangan Terbang Pondok Cabe dan Lapangan Terbang Budiarto, yang ditutup lebih awal pada hari sama.
Dudy berkata, kesemua enam lapangan terbang itu akan kekal ditutup sekurang-kurangnya empat jam lagi selepas ujian terbaharu terus mengesan kehadiran abu gunung berapi.
Dalam keadaan penutupan yang masih berterusan, beliau berkata, Kertajati sudah digunakan sebagai lapangan terbang alternatif, dengan dua penerbangan Garuda Indonesia dari Jeddah dan Madinah dialihkan ke lapangan terbang itu.
"Setakat ini, berdasarkan hasil ujian yang dijalankan di Lapangan Terbang Kertajati, lapangan terbang itu masih belum terjejas dan operasi masih boleh dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, syarikat penerbangan diminta terus berwaspada berikutan keadaan cuaca yang dinamik dan kemungkinan abu gunung berapi merebak ke arah lapangan terbang berkenaan.
Mengenai perkhidmatan untuk penumpang terjejas, Dudy berkata, syarikat penerbangan diminta segera memaklumkan penumpang mengenai pembatalan penerbangan serta memudahkan urusan pembatalan dan bayaran balik tiket secara elektronik supaya mereka tidak perlu ke lapangan terbang.
Beliau berkata, kementerian menggalakkan orang ramai dan sektor perniagaan mempertimbangkan pengangkutan kereta api, jalan raya dan laut yang setakat ini tidak terjejas akibat letusan itu, termasuk bagi penghantaran barangan yang biasanya diangkut melalui udara.
Sementara itu, Dudy berkata, perkhidmatan feri merentasi Selat Sunda, lokasi Anak Krakatau yang terletak antara Jawa dan Sumatera, masih beroperasi seperti biasa, tanpa penambahan feri bagi laluan Merak-Bakauheni berikutan jumlah penumpang yang menurun susulan letusan itu. - Bernama