ATHENS - Dua juruterbang maut selepas jet pejuang F-4 Phantom terhempas ketika menyertai pertunjukan udara di Pangkalan Udara Tanagra, utara Athens pada Sabtu.
Dua pegawai memaklumkan kepada Reuters bahawa pesawat dua tempat duduk itu terhempas kira-kira dua kilometer dari lapangan terbang berkenaan.
"Malangnya, kedua-dua juruterbang maut," kata seorang daripada pegawai berkenaan.
Beliau berkata, setakat ini tiada laporan mengenai orang awam atau penduduk di kawasan sekitar yang cedera dalam kejadian itu.
Rakaman yang disiarkan penyiar awam ERT, menunjukkan pesawat F-4 berkenaan melakukan pusingan ke kanan hanya beberapa meter dari permukaan tanah, sebelum terhempas dan meletus menjadi bola api.
Sebanyak 11 pesawat dan helikopter bomba dikerahkan bagi mengawal kebakaran yang merebak ke kawasan hutan berhampiran.
"Kami semua tergamam. Pesawat itu belum berada di udara lebih daripada tiga minit," kata seorang saksi kejadian kepada ERT.
Susulan kejadian itu, orang ramai diarah untuk meninggalkan kawasan tersebut.
Pesawat F-4 itu menyertai Athens Flying Week, acara tahunan yang menghimpunkan pasukan penerbangan tentera dan awam dari pelbagai negara.