55 rakyat Malaysia masih hilang, keluarga letak harapan pada SMART

Iklan
Seramai 11 pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berlepas ke Nepal dari Pangkalan Udara Subang pada jam 9 pagi Sabtu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Selepas 11 hari tanpa khabar, keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih hilang dalam tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal kini menaruh harapan kepada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang dihantar ke negara itu bagi meneruskan usaha pencarian.

Wakil kumpulan sokongan waris mangsa tragedi itu Solidariti Malaysia: Keluarga Dalam Harapan (MASFIH), Dr R Manivannan ketika dihubungi berkata, pihak keluarga amat menghargai penghantaran pasukan SMART meskipun berhadapan kesukaran mendapatkan kelulusan daripada kerajaan Nepal.

Iklan
Iklan

"Selepas 11 hari, kami berpandangan kebarangkalian untuk menemukan rakyat Malaysia yang masih hidup semakin rendah, kecuali jika mangsa terkandas atau berlindung di lokasi tertentu yang belum dikenal pasti. Namun, selagi belum ada pengesahan rasmi, kami tidak mahu berputus asa,” katanya.

Manivannan yang masih menunggu perkembangan pencarian adiknya R Komathi, 48, berkata, pihak keluarga juga sedar pasukan SMART akan berhadapan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang mencabar.

Iklan

Beliau berharap pasukan itu dapat memanfaatkan maklumat yang dikumpulkan waris sejak hari pertama kejadian, termasuk gambar, video, koordinat sistem kedudukan sejagat (GPS), rekod komunikasi dan lokasi terakhir mangsa.

Terdahulu, sebanyak 11 anggota dan pegawai SMART berlepas ke Nepal bagi membantu operasi SAR di kawasan yang terjejas akibat bencana pada 26 Ogos itu.

Iklan

Sementara itu, seorang lagi waris mangsa yang masih hilang, S Chandran, 63, berkata, keluarganya belum menerima perkembangan baharu daripada pihak berkuasa mengenai adiknya Lingam Samikanu, 49.

"Kami hanya menunggu maklumat. Kementerian Luar sentiasa berhubung dengan kami untuk memberikan kemas kini, tetapi setakat ini belum ada sebarang perkembangan,” katanya.

Chandran berkata, keputusan menghantar pasukan SMART memberi sinar harapan kepada keluarganya yang masih menanti perkembangan nasib adiknya.

"Saya masih menaruh harapan. Saya masih yakin dan berharap dia dapat ditemukan,” katanya.

Sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana itu manakala 77 lagi yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal sudah dibawa ke Kathmandu untuk menjalani proses sebelum pulang ke Malaysia. - Bernama