LOS ANGELES - Taufan Lowell yang berada beberapa ratus batu di selatan Kepulauan Hawaii semakin kuat dengan pantas, mendorong Gabenor Hawaii Josh Green mengisytiharkan keadaan darurat di seluruh negeri itu pada Khamis bagi menyokong persediaan menghadapi kemungkinan kesan ribut itu, lapor Xinhua.
Taufan Lowell kembali menguat kepada Kategori 4, dengan kelajuan angin berterusan kira-kira 240 kilometer sejam dan tekanan pusat 926 milibar.
Taufan itu berada kira-kira 985 kilometer di selatan Lihue, Hawaii, setakat pagi Jumaat waktu tempatan, menurut kemas kini Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.
Lowell, yang sempat mencapai Kategori 5 pada Rabu, diramal terus menguat pada petang Jumaat, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS (NWS).
Ramalan laluan terkini menunjukkan Lowell akan kekal hampir pada tahap kekuatan taufan besar ketika bergerak menghampiri bahagian barat kepulauan Hawaii pada lewat Isnin dan Isnin malam.
Kesan cuaca seperti ombak besar dan hujan lebat mungkin meliputi kawasan sejauh ratusan batu dari pusat Taufan Lowell, menurut NWS.
Green menandatangani pengisytiharan darurat pada Khamis yang meliputi seluruh negeri bagi menyokong persediaan menghadapi kemungkinan kesan Taufan Lowell, Taufan Karina, Ribut Tropika Marie dan sebarang ribut tambahan yang mungkin menjejaskan Hawaii.
Pengisytiharan itu membolehkan agensi negeri dan daerah menggerakkan anggota, peralatan dan sumber dengan lebih pantas ketika Hawaii masih dalam proses pemulihan daripada Siklon Tropika Lala. - Bernama/Xinhua