Tegur bapa guna wang sekolah untuk judi, remaja maut dipukul

Iklan
Kubur RR, remaja berusia 15 tahun dari Desa Cikuya, Cicalengka, Bandung, Jawa Barat, Indonesia, yang meninggal dunia dipercayai akibat didera bapa kandungnya. Foto: Agensi

BANDUNG - Tindakan seorang remaja lelaki mempertahankan ibunya ketika bertengkar dengan bapa berhubung wang persekolahan berakhir dengan tragedi apabila dia maut dipercayai akibat dipukul lelaki berkenaan di Cicalengka, Bandung, Indonesia.

Dalam kejadian pada Isnin lalu, mangsa berusia 15 tahun yang dikenali sebagai RR dipercayai menjadi sasaran kemarahan bapanya selepas menegur tindakan lelaki itu yang didakwa mahu menggunakan wang persekolahannya untuk berjudi dalam talian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Bandung, Komisioner Kanan Tri Suhartanto berkata, kejadian bermula apabila suspek berusia 37 tahun yang dikenali sebagai DR meminta wang sebanyak 500,000 rupiah (RM112.80) daripada isterinya.

Menurutnya, wang tersebut pada asalnya disediakan untuk membayar yuran kemasukan sekolah anak mereka, namun suspek dipercayai mahu menggunakannya untuk berjudi dalam talian.

Iklan

Pertengkaran kemudian tercetus antara pasangan berkenaan sebelum mangsa cuba mempertahankan ibunya.

"Mangsa berusaha membantu ibunya ketika berlaku pertengkaran dengan bapanya. Namun, tindakan itu menyebabkan suspek berang sebelum melakukan kekerasan terhadap anaknya," katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Iklan

Menurut polis, mangsa mengalami beberapa kecederaan akibat tindakan suspek, termasuk dipercayai dicekik, dipukul dan ditendang.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami pendarahan pada bahagian belakang kepala akibat hentakan objek tumpul.

Kecederaan tersebut dipercayai menjadi punca kematian remaja berkenaan.

Susulan laporan dibuat ibu mangsa, polis menjalankan siasatan sebelum menahan DR dan menetapkannya sebagai suspek dalam kes penderaan kanak-kanak yang menyebabkan kematian.

Suspek kini berdepan pertuduhan mengikut undang-undang perlindungan kanak-kanak dan peruntukan Kanun Keseksaan Indonesia.

Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun. - Agensi