RIYADH – Arab Saudi mengeluarkan amaran bahaya di beberapa kawasan susulan kemungkinan ancaman keselamatan pada awal pagi Sabtu, ketika ketegangan serantau terus meningkat berikutan konflik dengan kumpulan Houthi di Yaman.
Amaran berkenaan melibatkan wilayah Makkah serta bandar Jeddah, Taif dan Yanbu, menurut kenyataan Pertahanan Awam Arab Saudi menerusi platform media sosial X.
Penduduk di kawasan terlibat turut dinasihatkan supaya mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko terhadap keselamatan awam.
Pertahanan Awam Arab Saudi menggesa orang ramai supaya tidak berkumpul atau merakam gambar dan video di kawasan yang terlibat.
Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa mengikuti arahan rasmi pihak berkuasa dan tidak mengambil mudah langkah keselamatan meskipun keadaan dilaporkan semakin terkawal.
Dalam perkembangan terbaharu, Pertahanan Awam Arab Saudi mengumumkan bahawa keadaan bahaya itu telah berlalu, namun penduduk masih diminta mematuhi arahan keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa.
Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan antara Arab Saudi dengan kumpulan Houthi di Yaman semakin memuncak, termasuk serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan kerajaan itu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak memperincikan punca khusus amaran terdahulu atau mengesahkan sama ada ancaman berkenaan berkait secara langsung dengan serangan tersebut. - Agensi