Selepas baju oren, bagaimana pula baju lokap wanita Muslim?

Iklan
Tahanan SPRM sebelum ini dipakaikan baju oren ketika dibawa ke mahkamah untuk reman. Gambar hiasan

BAJU oren Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang selama ini sinonim dengan individu ditahan untuk membantu siasatan kini tidak lagi akan kelihatan ketika Orang Kena Siasat (OKS) dibawa ke mahkamah bagi prosiding reman.

Keputusan SPRM menggantung pemakaian baju oren itu berkuat kuasa serta-merta susulan perkembangan terkini dan saranan berkaitan tatacara pengendalian OKS.

Iklan
Iklan

Sebaliknya, mereka dibenarkan memakai pakaian biasa ketika dibawa ke mahkamah, manakala baju lokap hanya digunakan sepanjang tempoh berada dalam tahanan di lokap.

Langkah itu juga selari dengan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa individu yang masih dalam proses siasatan dan belum didakwa tidak seharusnya berdepan persepsi seolah-olah sudah melakukan kesalahan.

Iklan

Kini, mungkin sudah tiba masanya isu pakaian lokap wanita Muslim pula diberikan perhatian yang sewajarnya.

Persoalan itu wajar dibangkitkan kerana isu pakaian tahanan wanita, khususnya wanita Islam sebelum ini turut mencetuskan perhatian masyarakat.

Iklan

Tidak lama selepas itu, kerajaan menyatakan akan memberi perhatian khusus kepada isu pakaian lokap wanita Muslim selepas timbul persoalan mengenai pemeliharaan aurat seorang tahanan wanita ketika hadir ke mahkamah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli ketika itu menegaskan isu melibatkan aurat merupakan perkara yang tidak boleh dikompromi kerana ia sebahagian daripada tuntutan agama.

Perkara sama turut mendapat perhatian Dewan Muslimat Pas yang menggesa kerajaan menyediakan pakaian yang menutup aurat dengan sempurna kepada tahanan wanita Islam.

Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Salleh berkata, tindakan segera ini penting agar insiden menimpa seorang ustazah yang hadir ke mahkamah dalam keadaan pakaian tidak menepati tuntutan syarak sehingga mencetuskan perdebatan ramai tidak berulang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Jun lepas memaklumkan kerajaan menegaskan kerangka perundangan dan pentadbiran sedia ada menyediakan perlindungan sewajarnya terhadap kebajikan serta privasi tahanan wanita tanpa menjejaskan aspek keselamatan.

Bagaimanapun, Saifuddin memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia meneliti cadangan penambahbaikan spesifikasi pakaian tahanan wanita termasuk penyediaan pakaian yang lebih mematuhi syariah serta bersesuaian bagi tahanan wanita beragama Islam selaras dengan prinsip penambahbaikan berterusan dan keperluan semasa.

Justeru, selepas isu baju oren diberikan penyelesaian yang lebih sesuai, sudah tiba masanya isu baju lokap wanita Muslim pula diteliti dengan pendekatan yang sama tegas pada prinsip keselamatan, tetapi pada masa sama lebih sensitif terhadap maruah, kesesuaian dan keperluan wanita.

Jika pakaian seseorang OKS ketika dibawa ke mahkamah boleh diteliti semula bagi mengelakkan persepsi bahawa individu berkenaan sudah bersalah, maka aspek pakaian tahanan wanita Islam juga sewajarnya terus diberi perhatian dari sudut maruah, privasi dan keperluan agama.

Lebih-lebih lagi bagi wanita Islam, pemeliharaan aurat bukan sekadar soal keselesaan atau penampilan.

Namun begitu, isu ini tidak seharusnya dilihat sebagai tuntutan supaya tahanan wanita diberikan layanan istimewa.

Jika boleh diwujudkan pakaian yang lebih sesuai, sopan dan mematuhi tuntutan syariah tanpa menjejaskan keselamatan, mengapa tidak kita usahakan.