KEPUTUSAN kerajaan melarang penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze bagi urusan rasmi membuka perdebatan lebih besar daripada soal memilih laluan perjalanan.
Isu berkenaan umumnya menyentuh keselamatan data negara, kedaulatan digital dan keupayaan Malaysia membangunkan teknologi tempatan yang mampu memenuhi keperluan pengguna.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin menjelaskan, keputusan itu dibuat berdasarkan dua pertimbangan utama, iaitu pengumpulan data pengguna secara terperinci dan perubahan terma penggunaan Waze yang menetapkan undang-undang Israel sebagai bidang kuasa perundangan.
Kebimbangan terhadap data lokasi bukan perkara remeh.
Maklumat pergerakan, perjalanan dan peranti, apabila dikumpulkan serta dianalisis secara berterusan, berpotensi mendedahkan corak aktiviti seseorang.
Bagi penjawat awam, khususnya mereka yang mengendalikan urusan sensitif, maklumat sedemikian boleh menimbulkan risiko keselamatan jika tidak diurus dengan sewajarnya.
Namun, langkah menyekat penggunaan Waze bagi urusan rasmi sahaja tidak memadai jika alternatif tempatan belum mampu memberikan pengalaman setanding.
Di sinilah TuJu berdepan ujian sebenar. Aplikasi navigasi tempatan itu menerima kritikan berhubung kelemahan prestasi dan pengalaman pengguna.
Malah, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menyifatkannya sebagai memalukan negara, selain mempersoalkan pihak yang meyakinkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keupayaannya menggantikan Waze.
Kritikan itu mencerminkan persoalan penting iaitu sejauh manakah Malaysia bersedia menterjemahkan aspirasi kedaulatan digital kepada produk yang benar-benar berfungsi?
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kerajaan akan memperkukuh fungsi TuJu dan memperluas perkhidmatannya melangkaui pemantauan lebuh raya bagi menyediakan maklumat trafik lebih menyeluruh.
Usaha itu wajar, tetapi penambahbaikan perlu berpaksikan keperluan sebenar pengguna.
Ketepatan maklumat trafik, kemas kini masa nyata, cadangan laluan alternatif, kemudahan penggunaan dan kestabilan aplikasi ialah antara aspek yang menentukan sama ada orang ramai akan menerima TuJu atau terus memilih pesaingnya.
Pada masa sama, kerajaan perlu menjelaskan dasar perlindungan data TuJu secara telus, termasuk kaedah pengumpulan, penyimpanan dan penggunaan maklumat pengguna.
Aplikasi tempatan tidak semestinya selamat hanya kerana dibangunkan di Malaysia dan keyakinan mesti dibina melalui tadbir urus yang kukuh, audit keselamatan serta perlindungan privasi yang boleh dipertanggungjawabkan.
Persaingan Waze dengan TuJu bukan sekadar pertarungan antara aplikasi asing dengan produk tempatan sebaliknya ia menguji kesungguhan negara mengimbangi keselamatan dengan kemudahan, serta cita-cita dengan keupayaan pelaksanaan.
Kedaulatan digital tidak tercapai melalui larangan semata-mata berikutan ia memerlukan teknologi yang selamat, cekap dan dipercayai.
Jika TuJu mahu menjadi pilihan rakyat, aplikasi itu perlu membuktikan keupayaannya di jalan raya, bukan sekadar melalui pengumuman dan janji penambahbaikan.