Wang RM19,300 depan mata, berapa ramai sejujur Hamid?

Iklan
Zahril Asri (tiga dari kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada Hamid di IPD Setiu Rabu lalu.

HAMID, Azlan dan Tengku Andy bukan pempengaruh, pelakon, penyanyi mahupun ahli perniagaan terkenal, sebaliknya mereka hanyalah insan biasa yang menjalani kehidupan seperti orang lain.

Bagaimanapun, mereka mempunyai satu persamaan yang cukup istimewa, iaitu kejujuran apabila berdepan peluang untuk memiliki sesuatu yang bukan hak mereka.

Iklan
Iklan

Azlan, seorang orang kurang upaya (OKU) menyerahkan wang tunai yang ditemuinya kepada Jabatan Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Duyong pada Mei 2026.

Sementara itu, tukang kebun, Tengku Andy Asmawi Tengku Ahamad, 28, memulangkan gelang tangan emas seberat 25 gram yang dianggarkan bernilai RM15,000 selepas menemukan barang kemas itu ketika menjalankan tugas rutin di Muzium Samudera, Banda Hilir, pada September lalu.

Iklan

Terbaharu, Hamid Samat, 57, turut menunjukkan kejujuran apabila menyerahkan wang tunai berjumlah RM19,300 yang ditemuinya berhampiran lokasi kemalangan di Setiu, Terengganu.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zahril Asri Mohd Zain berkata, Hamid diraikan dalam satu majlis penyerahan sijil penghargaan di Pejabat Ketua Polis Daerah Setiu pada Rabu sebagai tanda pengiktirafan atas integriti dan sikap amanah ditunjukkan.

Iklan

Tindakan mereka mungkin nampak mudah, tetapi hakikatnya bukan semua orang mampu berbuat demikian, apatah lagi apabila menemui wang atau barang berharga yang pemiliknya tidak diketahui.

Bayangkan jika kita berada di tempat mereka dengan sejumlah wang bernilai ribuan ringgit atau barang kemas bernilai puluhan ribu ringgit berada di depan mata, tanpa sesiapa mengetahui siapa yang menemuinya.

Adakah kita akan berusaha mencari pemiliknya atau menganggapnya sebagai rezeki terpijak?

Dalam kehidupan seharian, kejujuran boleh ditunjukkan melalui perkara kecil seperti memulangkan lebihan wang kepada pelanggan, menyerahkan dompet yang ditemui kepada pihak berkuasa atau berusaha mencari pemilik telefon bimbit yang tercicir.

Perbuatan itu mungkin tidak membawa ganjaran besar, namun cukup bermakna kepada mereka yang kehilangan sesuatu.

Wang yang tercicir mungkin hasil titik peluh seseorang, manakala barang kemas yang hilang mungkin mempunyai nilai sentimental yang tidak dapat digantikan.

Ironinya, ketika insan biasa seperti Hamid, Azlan dan Tengku Andy memilih untuk jujur walaupun berpeluang memiliki wang atau barang berharga, terdapat juga individu yang pernah memegang jawatan penting berdepan pertuduhan berkaitan penipuan, salah guna kedudukan dan urusan kewangan bernilai jutaan ringgit.

Justeru, kejujuran perlu terus dipupuk dalam masyarakat, bermula dari rumah dengan anak-anak dididik supaya tidak mengambil hak orang lain, manakala orang dewasa perlu menunjukkan teladan melalui tindakan, bukan sekadar nasihat.

Kisah Hamid, Azlan dan Tengku Andy juga mengingatkan kita bahawa orang biasa mampu menjadi contoh kepada masyarakat melalui tindakan yang sederhana tetapi bermakna.