Hanya beberapa saat, musnah segalanya

Iklan
Masyarakat diingatkan sentiasa berwaspada sebelum berkongsi maklumat atau memindahkan wang bagi mengelakkan diri jadi mangsa penipuan. Gambar hiasan

APA yang mampu kita lakukan dalam tempoh 10 saat?

Mungkin kita hanya sempat meregangkan badan, menarik nafas panjang atau membaca beberapa patah perkataan pada skrin telefon.

Iklan
Iklan

Tempoh itu terlalu singkat untuk memasak, apatah lagi melakukan sesuatu yang memerlukan masa dan tenaga.

Penulis sendiri mungkin hanya sempat menaip beberapa patah perkataan dalam tempoh berkenaan.

Iklan

Bagaimanapun, dalam dunia digital yang serba pantas, 10 saat mungkin sudah cukup untuk memindahkan wang daripada satu akaun ke akaun lain.

Malangnya, tempoh yang sama juga boleh menjadi titik permulaan kepada kehilangan wang simpanan yang dikumpulkan bertahun-tahun.

Iklan

Bayangkan wang yang disimpan sedikit demi sedikit setiap bulan, hasil penat lelah bekerja, berjimat cermat dan pengorbanan menahan keinginan, lesap hanya dalam beberapa saat.

Lebih menyedihkan, wang itu mungkin diperuntukkan untuk membayar sewa rumah, menampung perbelanjaan anak-anak, membeli ubat ibu bapa atau dijadikan persediaan menghadapi kecemasan.

Apabila wang itu hilang, bukan sekadar angka dalam akaun bank yang berkurangan, malah perancangan hidup seisi keluarga turut terjejas.

Inilah sisi gelap kemudahan teknologi kewangan yang semakin sebati dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Urusan pembayaran dan pemindahan wang kini boleh dilakukan dengan hanya beberapa sentuhan pada skrin telefon.

Namun, kemudahan yang menjadikan urusan kewangan lebih pantas itu turut membuka ruang kepada penjenayah untuk memperdaya mangsa.

Hakikat itu turut ditegaskan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, yang mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada serta menyemak kesahihan maklumat melalui saluran rasmi sebelum berkongsi maklumat peribadi atau memindahkan wang bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Menurutnya, kerugian akibat penipuan dalam talian mencecah hampir RM3 bilion pada 2025, dengan Selangor merekodkan jumlah kerugian tertinggi.

“Dalam dunia digital, sepuluh saat sudah memadai untuk membuat pembayaran atau memindahkan wang. Kemudahan ini banyak manfaatnya.

“Namun, kepantasan transaksi turut mengehadkan ruang untuk pertimbangan mendalam. Beberapa saat boleh menentukan sama ada simpanan keluarga kekal selamat atau hilang,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Celik Kewangan Selangor 2026 pada Sabtu.

Persoalannya, mengapa penipuan seperti ini masih berlaku walaupun amaran sudah berkali-kali disampaikan?

Jawapannya bukan semata-mata kerana mangsa kurang pengetahuan atau tidak bijak menggunakan teknologi.

Sebaliknya, penjenayah semakin licik memanipulasi emosi manusia, terutama ketika seseorang berada dalam keadaan panik, takut atau terlalu teruja dengan tawaran yang kelihatan menguntungkan.

Ada yang diperdaya melalui panggilan menyamar sebagai pihak berkuasa atau pegawai bank, manakala sebahagian lagi terjerat dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam masa singkat.

Dalam keadaan terdesak atau terlalu percaya, seseorang mungkin bertindak mengikut arahan tanpa sempat menyemak kesahihannya.

Ketika itulah, beberapa saat yang sepatutnya digunakan untuk berfikir boleh bertukar menjadi detik yang membawa penyesalan berpanjangan.

Justeru, masyarakat perlu membudayakan sikap berhati-hati setiap kali menerima panggilan, mesej atau pautan yang meminta maklumat peribadi, butiran perbankan atau pemindahan wang.