Bank Islam raih empat anugerah, Raja Teh Maimunah dinobat 'CEO of The Year'

Iklan
Raja Teh Maimunah (tengah) menerima anugerah itu pada Simposium dan Majlis Anugerah WOMANi Tahunan ke-7 pada 27 Ogos lalu.

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz dinobatkan sebagai 'CEO of the Year' di Women in Islamic Business and Finance (WOMANi) Awards 2026.

Pengiktirafan itu diberikan atas komitmen cemerlang bank dalam memajukan kepimpinan wanita, keterangkuman serta kesaksamaan gender.

Iklan
Iklan

Raja Teh Maimunah berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan perjalanan kerjayanya yang dibentuk oleh pelbagai cabaran dan transformasi berterusan.

“Saya amat berbesar hati dan rendah diri menerima pengiktirafan ini. Mengenang kembali perjalanan 30 tahun saya dalam bidang perbankan, saya diingatkan yang pembangunan diri sering terbentuk melalui cabaran, perubahan dan keberanian untuk menerima perkara baharu.

Iklan

“Tanggungjawab ini mendorong saya membentuk industri kewangan Islam yang lebih berdaya tahan, inklusif dan bersedia menghadapi masa depan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau menerima anugerah itu pada Simposium dan Majlis Anugerah WOMANi Tahunan ke-7 pada 27 Ogos lalu di ibu negara.

Iklan

Dianjurkan oleh Cambridge IFA, WOMANi Awards memberi penghormatan kepada institusi dan pemimpin yang menggalakkan penyertaan wanita, memupuk tempat kerja inklusif serta membawa perubahan bermakna dalam sektor kewangan dan perniagaan Islam di peringkat global.

Acara itu juga menghimpunkan pembuat dasar kanan, anggota lembaga pengarah, pelabur institusi serta eksekutif korporat dari Asia Tenggara, Timur Tengah, Asia Selatan, Eropah dan Afrika.

Sementara itu, Bank Islam turut meraih empat anugerah menerusi The Asset Triple A Islamic Finance Awards 2026, sekali gus menyerlahkan kepimpinan dan keupayaan kumpulan itu dalam sektor kewangan Islam.

Ia membabitkan transaksi sukuk dalam sektor air, perbankan, perladangan dan tenaga boleh diperbaharui.

Bank Islam bertindak sebagai Pengurus Utama dan Penasihat Syariah untuk 'Sustainable and Responsible Investment' (SRI) Kelestarian Murabahah Sukuk (SRI Sukuk Terbaik - Air) bagi Pengurusan Air Selangor bernilai RM1.5 bilion.

Selain itu, 'Bookrunner' dan Pengurus Utama untuk Bi Al-Istithmar Wakala Sukuk (Sukuk Terbaik - Bank) bagi Bank Simpanan Nasional (BSN) berjumlah RM890 juta.

Bank Islam turut bertindak sebagai 'Bookrunner' dan Pengurus Utama untuk Sustainability Wakala Sukuk (Sukuk Kemampanan Terbaik- Perladangan) bagi Johor Plantations Group yang bernilai RM200 juta.

Bank itu juga memainkan peranan sebagai Penasihat Utama, Penasihat Syariah dan Pengatur Utama untuk SRI Kelestarian Murabahah Sukuk (SRI Sukuk Terbaik - Tenaga Boleh Diperbaharui) bagi Heliosel Sdn Bhd bernilai RM150 juta.

Pengiktirafan itu mencerminkan keupayaan kukuh Bank Islam dalam menyediakan khidmat nasihat, penstrukturan dan pelaksanaan sukuk yang komprehensif.