YB Samsuri: Membawa aspirasi negarawan - teknokrat - demokrat

Iklan
Potensi Dr Ahmad Samsuri sebagai calon Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri pada masa hadapan. Gambar kecil: Nordin

AWAL minggu saya dapat rezeki berjumpa dengan seorang profesor yang mengetuai satu organisasi yang memberi idea kepada Menteri Besar Terengganu.

Kami berbincang banyak perkara sehingga hujungnya menyentuh Dr Samsuri. Isinya adakah beliau ada 'material' menjadi PM atau TPM. Profesor itu memprovokasi pandangan saya tentang hal itu.

Iklan
Iklan

Seperti biasa, saya akan sentiasa mencarikan jawapan-jawapan positif. Mana tahu jika hal itu benar-benar terjadi. Masanya pun sudah tak lama.

Jika benar BN sudah bulat akan bersama Pas dalam PRU 16, kemungkinan itu tidak terlalu 'remote' untuk terjadi.

Iklan

Pas pun sekarang sudah kelihatan pragmatik dan Presiden UMNO juga sedang mau mengotakan gagasan Rumah Besar Bangsa.

Saya yakin apabila Presiden UMNO sudah menyatakannya dalam iklim politik yang tidak sepenuhnya mersa-UMNO, beliau tentu mahu gagasan itu berjaya.

Iklan

Pada usia 71, Ahmad Zahid juga tidak ada kemewahan masa untuk menebar jala secara rambang. Legasi beliau untuk bangsa terletak di situ nanti.

Setelah berfikir lama, saya membuat susulan kepada profesor itu bertulis. Berikut saranan saya:

Yang saya hormati Prof,

Terima kasih atas kesempatan untuk berbincang mengenai pelbagai perkara penting berkaitan negara kita yang tercinta, khususnya mengenai potensi YAB DS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri pada masa hadapan.

Pada hemat saya, jika YAB Samsuri ingin menawarkan dirinya kepada rakyat sebagai calon pemimpin tertinggi negara, PM atau TPM, beliau perlu membina satu identiti politik yang berbeza daripada politik biasa.

Beliau tidak perlu berlumba-lumba menjadi ahli politik yang paling lantang, paling agresif atau paling cepat memberikan reaksi.

Sebaliknya, beliau boleh menawarkan dirinya sebagai seorang:

"Negarawan–Teknokrat–Demokrat".

Tiga perkataan ini boleh menjadi asas kepada pembinaan watak kepimpinan beliau.

NEGARAWAN

Sebagai seorang negarawan, Dr Samsuri perlu memperlihatkan bahawa cita-citanya bukan semata-mata untuk memimpin sebuah parti atau gabungan politik, tetapi untuk memimpin Malaysia dan seluruh rakyatnya.

Kerajaannya hendaklah bernama Kerajaan Malaysia. Tak payah berkreativiti mencari nama atau panggilan lain. Kembalikan nama Malaysia, nama negara kita yang kita cintai.

Jika suatu hari nanti beliau diberikan amanah sebagai Perdana Menteri atau TPM, beliau perlu berani membuat satu janji yang sangat jelas:

Inilah perbezaan antara seorang pemimpin parti dengan seorang negarawan. Cukuplah politik PM hanya menjadi PM untuk parti dan penyokongnya sahaja.

Pilihan raya menentukan siapa yang membentuk kerajaan, tetapi kemenangan pilihan raya tidak memberikan seseorang hak untuk memiliki negara.

Kerajaan adalah amanah rakyat. Negara bukan milik parti yang menang. Dr Sam mesti hapuskan budaya penyokong yang menang menghasut pemimpin supaya menghukum mereka yang tidak menyokong atau yang telah kalah.

Oleh itu, pembangkang juga mesti dilihat sebagai sebahagian daripada sistem demokrasi, bukannya musuh negara.

Beliau boleh menawarkan satu budaya politik baharu: yang menang membentuk kerajaan, tetapi yang kalah tetap rakyat Malaysia yang sentiasa turut menyumbang.

TEKNOKRAT

Teknokrat menyelesaikan masalah bukan memperbesar perbalahan.

Setiap rakyat, menyokong atau tidak menyokong, hendaklah semuanya dilihat sebagai harta negara paling berharga, human capital. Setiap pendapat rakyat, yang disampaikan berhemah atau celupar, hanyalah proses menyaring idea intan bercampur pasir yang pasti dilalui.

Latar belakang Dr Samsuri sebagai jurutera aeroangkasa dan pemegang PhD merupakan satu modal kepimpinan yang sangat berharga.

Beliau tidak perlu menyembunyikan identiti teknokrat itu untuk kelihatan lebih “politik”.

Sebaliknya, beliau boleh menjadikannya kekuatan. Itu ialah aset peribadi beliau, bukan liabiliti. Jangan tergugat bila ada yang celupar menggelar beliau engineer yang tak tahu mentadbir.

Apabila membicarakan ekonomi, pendidikan, inflasi, produktiviti, teknologi, tenaga atau pembangunan negara, beliau wajar banyak menggunakan data, fakta, statistik dan penyelesaian yang tersusun dan berstruktur.

Bukankah itu cara kerja jurutera? Jika Tun M gaya doktor bedah dalam menyelesaikan masalah, Dr Sam melihat masalah sebagai struktur 'black box'. Hasil proses diuji lagi sebelum dilaksana.

Masalah negara perlu dilihat seperti masalah kompleks yang memerlukan diagnosis yang tepat, analisis yang mendalam dan penyelesaian yang boleh dilaksanakan.

Politik tidak seharusnya sentiasa menjadi pertandingan tentang siapa yang salah. Dr Sam mesti menghentikan politik menyalahkan masa lalu. Masa lalu tak mungkin menjadi hari ini, masa depan hanya konsep bukan realiti.

Realiti adalah masa kini, di bumi yang kita pijak. Tak payah mengagungkan atau meratapi masa lalu. Manfaatkan setiap masa kini, di sini, saat ini, 'in the here and now'.

Setiap persoalan dipandang serius seperti masa beliau buat PhD dulu. Apakah masalah kita? Apakah puncanya? Apakah pilihan penyelesaiannya? Dan bagaimana kita mengukur keberhasilannya? Apa alat ukurnya, Bagaimana kaedah kalibrasi alat ukur? Semuanya perlu cekap dan pantas. Jika lambat beliau akan dilihat permimpin yang ragu-ragu membuat keputusan.

Pendekatan seperti ini boleh membina keyakinan khususnya dalam kalangan generasi muda, profesional, golongan bandar dan pengundi yang sudah letih dengan politik yang terlalu emosional.

DEMOKRAT

Beliau mesti berani dan tidak tergugat emosi dan sentimen apabila mendengar kecaman dari mereka yang tidak bersetuju, yang membangkang, yang menentang.

Seorang teknokrat sahaja tidak memadai untuk memimpin demokrasi. Beliau mesti menampilkan dirinya sebagai seorang demokrat.

Demokrasi bukan hanya tentang menang pilihan raya.

Demokrasi juga bermaksud bersedia mendengar mereka yang tidak bersetuju.

Jika menjadi Perdana Menteri, beliau mesti memberikan jaminan bahawa kritikan tidak akan dianggap sebagai pengkhianatan, perbezaan pandangan tidak akan dianggap sebagai permusuhan, dan pembangkang tidak akan dilihat sebagai musuh negara.

Malah satu prinsip yang sangat mudah boleh ditawarkan. Beranikah beliau berjanji begini?

“Saya tidak berjanji menjadikan pembangkang akan bersetuju dengan saya. Tetapi saya berjanji mereka akan sentiasa mempunyai hak untuk tidak bersetuju dengan saya.”

Ini adalah bahasa seorang demokrat yang yakin terhadap kekuatan dirinya sendiri.

GAYA SENI DIAM DAN KETENANGAN

Dalam politik moden, tidak semua perkara perlu dijawab. Mengapa seorang PM suka bertengkar dengan rakyat? Rakyat mesti dikasihi bukan dijadikan lawan bertengkar. Beliau tidak akan besar dan mulia dengan menang bertengkar dengan rakyat.

Seorang bakal Perdana Menteri tidak perlu menang setiap pertengkaran di media sosial. Beliau perlu menang keyakinan rakyat.

Dr Samsuri perlu menguasai seni diam secara strategik.

Apabila diserang, beliau tidak semestinya perlu memberikan respons serta-merta. Jawapan yang lambat sedikit tetapi matang, tepat dan berfakta mungkin jauh lebih berkesan daripada reaksi spontan yang emosional dan penuh sentimen beridentiti qabilah.

Pasukan medianya boleh mengendali serangan politik yang bersifat harian, sementara beliau sendiri kekal fokus kepada perkara yang lebih besar: dasar, ekonomi, rakyat dan masa depan negara.

Beliau tidak perlu turun ke gelanggang setiap kali ada provokasi.

NILAI ISLAM SEBAGAI NILAI KEADILAN

Oleh kerana beliau dari Pas maka beliau semahu mana pun tidak akan boleh menanggalkan identiti 'hijau' itu.

Namun jangan apologetik. Jadikan dia suatu aset utama: membawa rahmat keseluruh alam, bukan hanya 'rahmatan lil Islam/Muslim'.

Sebagai seorang pemimpin Islam dalam sebuah negara majmuk, Dr Samsuri perlu memperlihatkan nilai Islam melalui bahasa yang dapat diterima oleh seluruh rakyat dan kemanusiaan sejagat. Rasul diturunkan untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Adam diturunkan untuk memimpin alam.

Amanah, keadilan, kejujuran, kesederhanaan, integriti dan belas ihsan bukan nilai yang hanya diperlukan oleh orang Islam.

Nilai-nilai tersebut adalah nilai sejagat.

Oleh itu, pendekatan beliau kepada masyarakat bukan Islam dan komuniti bandar harus berasaskan keadilan, kemakmuran bersama, 'shared prosperity', peluang yang saksama, kestabilan dan kemudahan menjalankan perniagaan.

Daripada menjadikan identiti sebagai garis pemisah, beliau boleh menjadikan nilai sebagai jambatan penyatuan.

PM BUKAN LAGI MILIK PARTI

Inilah mungkin tawaran politik yang paling penting. Terlalu amat penting bagi memperbetulkan falsafah dan pendirian PM masa lalu.

Malaysia memerlukan pemimpin yang memahami bahawa apabila seseorang menjadi Perdana Menteri, beliau tidak lagi boleh melihat dirinya sebagai pemimpin kepada orang yang menyokong partinya sahaja.

Beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia, bukan Perdana Menteri Pas.

Maka, YAB Samsuri boleh membuat satu komitmen moral yang sangat jelas:

"Jika saya diberikan amanah untuk memimpin negara, saya tidak akan memerintah hanya untuk mereka yang bersama saya. Saya akan memerintah untuk semua, termasuk mereka yang membangkang saya.”

Ini bukan kelemahan.

Sebaliknya, inilah ukuran sebenar seorang negarawan.

BERTINGKAH LAKU SEPERTI PM SEBELUM MENJADI PM

Masa untuk membina persepsi kepimpinan mungkin tidak panjang.

Oleh itu, beliau tidak perlu mencipta terlalu banyak imej baharu.

Beliau perlu mula menunjukkan watak seorang Perdana Menteri yang sama dengan watak sebelum menjadi Perdana Menteri. Jangan cuba membina 'watak plastik'. Jangan sekali-kali, terlebih solekan.

Kurangkan perbalahan.

Kurangkan reaksi.

Kurangkan politik peribadi.

Lebihkan penerangan.

Lebihkan data.

Lebihkan penyelesaian.

Lebihkan mendengar.

Dan yang paling penting, tunjukkan bahawa beliau mampu bercakap kepada seluruh Malaysia, bukan hanya kepada penyokongnya."Bahasa" beliau hendaklah menyenangkan semua telinga yang mendengar dan mudah difahami.

Jika ini dilakukan secara konsisten dalam tempoh sebelum PRU16, rakyat tidak lagi melihat beliau sekadar sebagai seorang pemimpin parti atau negeri.

Mereka mungkin mula melihat beliau sebagai seorang pemimpin nasional yang bersedia memikul amanah negara.

Rumusannya, tawaran Dr Samsuri kepada rakyat tidak seharusnya hanya berbunyi:

“Undilah saya kerana saya lebih baik daripada lawan saya. Tak ada orang lebih pandai dan lebih bersih darioada saya”

Tawaran yang lebih besar ialah:

“Berikan saya peluang untuk membuktikan bahawa politik boleh kembali menjadi amanah, pemerintahan boleh kembali menjadi khidmat, dan perbezaan politik tidak semestinya menjadikan kita musuh. Saya bukan orang terpandai dan terbaik tetapi dengan bantuan semua rakyat kita akan bersama-sama berusaha menjadi baik secara kokektif."

Negarawan: memberikan arah dan menyatukan rakyat.

Teknokrat: memberikan keupayaan 'empower' semua untuk menyelesaikan masalah.

Demokrat: memastikan kuasa sentiasa menghormati rakyat.

Jika ketiga-tiga unsur ini dapat dibina secara konsisten, YAB Samsuri tidak perlu terlalu sibuk meyakinkan rakyat bahawa beliau layak menjadi Perdana Menteri.

Watak, tindakan dan cara beliau berpolitik akan bercakap untuk dirinya sendiri.

Dan mungkin inilah tawaran yang paling diperlukan oleh Malaysia selepas PRU16:

Bukan sekadar siapa yang menang, tetapi bagaimana seorang pemenang memerintah mereka yang menang bersamanya, dan mereka yang tidak memilihnya.

Maafkan saya jika bahasa saya terlebih atau kurang sopan.

Salam hormat.

*Tan Sri Nordin Kardi, Jakarta Business School