Gagal bayar bil RM7,000, wanita dicukur botak dalam bar

Iklan
Rakaman pengurus berkenaan mencukur rambut wanita itu yang dikongsi Chalida Phalamat daripada Yayasan Pen Nueng. Foto kredit Chalida Phalamat

BANGKOK – Seorang pengurus bar di Thailand berdepan kecaman selepas video tular memaparkan dia mencukur kepala seorang pelanggan wanita menggunakan mesin pencukur kerana didakwa gagal menjelaskan bil berjumlah 60,000 baht (kira-kira RM7,000).

Menurut laporan Bangkok Post, tindakan itu mencetuskan gesaan supaya polis menjalankan siasatan selain menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kebajikan wanita berkenaan.

Iklan
Iklan

Kes itu didedahkan Chalida Phalamat daripada Yayasan Pen Nueng yang pada 27 Ogos memuat naik rakaman pengurus terbabit mencukur kepala wanita berkenaan sebelum membawanya ke balai polis.

Pengurus itu didakwa menuduh wanita tersebut membuat bil tinggi tanpa membayarnya, manakala beberapa pihak mendakwa dia pernah melakukan perkara sama di beberapa premis sebelum ini.

Iklan

Menurut pihak bar, wanita itu menggunakan kad pengenalan palsu untuk memasuki premis berkenaan pada 25 Ogos dan tidak mempunyai wang untuk menjelaskan bil.

Pengurus terbabit kemudian dilaporkan meminta wanita itu menandatangani perjanjian untuk menjual rambutnya yang dipotong dari akar hingga ke hujung dengan harga 3,000 baht.

Iklan

Chalida berkata, beliau memahami kerugian yang ditanggung pihak bar dan tanggungjawab kewangan pengurus terhadap pekerjanya, namun menganggap tindakan mencukur kepala wanita itu sebagai keterlaluan dan menyalahi undang-undang.

Beliau turut mempersoalkan mengapa pihak bar tidak membuat laporan polis dan sebaliknya mengambil tindakan sendiri.

Chalida juga mempersoalkan sama ada persetujuan wanita itu benar-benar diberikan secara sukarela memandangkan keadaan yang berlaku, selain meragui alasan pihak bar bahawa rambut berkenaan dicukur untuk tujuan sumbangan.

Menurutnya, rambut wanita itu sudah dipotong pendek menggunakan gunting sebelum dicukur menggunakan mesin.

Dalam pada itu, Chalida berkata pengurus tersebut memaklumkan bahawa dia akan menghubungi keluarga wanita berkenaan untuk memohon maaf dan menawarkan pampasan.

Beliau turut menggesa Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia Thailand memeriksa keadaan wanita berkenaan kerana terdapat dakwaan dia berusia bawah 20 tahun.

Katanya, masih tidak jelas sama ada wanita itu merupakan bawah umur atau mempunyai masalah kesihatan mental yang mendasari.

Sementara itu, ibu wanita terbabit menafikan versi kejadian yang diberikan pihak bar dengan mendakwa beliau telah menawarkan untuk membayar bil secara ansuran, namun tawaran itu ditolak.

Ibu berkenaan turut mendakwa terdapat tanda-tanda keganasan fizikal termasuk lebam pada tubuh anaknya dan berkata akan membawanya membuat laporan polis di Balai Polis Bang Yai Khan pada Jumaat.