SOFIFI - Dua loji tenaga nuklear akan dibina di perairan Indonesia terletak kira-kira 3,000 kilometer (km) dari Kuala Lumpur atau 1,400km dari Kota Kinabalu dalam tempoh lima tahun akan datang.
Konglomerat tenaga milik kerajaan Rusia, Rosatom pada Isnin memaklumkan ia mencapai persetujuan dengan syarikat milik kerajaan Indonesia, PT Pembangkit Listrik Nuklir untuk membekalkan tenaga elektrik yang dijana oleh dua loji janakuasa nuklear terapung di Maluku Utara.
Ketua Pengarah Rosatom, Alexey Likhachev berkata, mereka bersedia menawarkan penyelesaian teknologi paling canggih dan terbukti keberkesanannya yang tersedia di pasaran global
Menurut Rosatom, ia akan menempatkan dua unit janakuasa terapung FPU-100 dengan kapasiti gabungan 200 megawatt (MW) bagi membekalkan tenaga elektrik ke bahagian utara Pulau Halmahera.
“Unit berkenaan akan membekalkan tenaga elektrik rendah karbon menggunakan sistem reaktor siri RITM yang terbukti cekap, boleh dipercayai dan selamat selepas bertahun-tahun beroperasi di atas kapal pemecah ais berkuasa nuklear,” menurut kenyataan itu lagi.
Kesepakatan berkenaan disifatkan sebagai perjanjian eksport pertama seumpamanya di dunia bagi pembekalan tenaga elektrik daripada unit janakuasa terapung.
Pada 2025, Indonesia memasukkan tenaga nuklear dalam Pelan Tenaga Nasional sebagai instrumen penting bagi menjamin keselamatan tenaga jangka panjang dan mencapai neutraliti karbon menjelang 2060.
Malaysia turut menghidupkan semula perancangan tenaga nuklearnya dengan memulakan kembali Fasa 1 pendekatan Milestones oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi menilai kebolehlaksanaan penggunaan tenaga nuklear dalam grid elektrik negara. - Agensi