Akses terus LPT2-Pelabuhan Kuantan sokong pertumbuhan industri, pelaburan di Pahang - Wan Rosdy

Iklan
Plaza Tol Pelabuhan Kuantan akan mula beroperasi dan dibuka kepada semua pengguna lebuh raya bermula jam 6 pagi pada Jumaat.

KUANTAN - Pembukaan Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) di sini memperkukuh jaringan pengangkutan dan menyokong pertumbuhan industri serta pelaburan di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, akses terus antara LPT2 dengan Pelabuhan Kuantan dan Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) itu bukan sahaja menjimatkan masa perjalanan, malah menyokong pertumbuhan industri dan pelaburan di kawasan pembangunan utama sekitarnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kemudahan berkenaan memudahkan akses ke Pelabuhan Kuantan dan Terengganu, sekali gus memendekkan tempoh perjalanan serta memberi kemudahan kepada pelabur dan pengguna dari kedua-dua negeri

"Ia juga seiring dengan fokus kerajaan negeri untuk meningkatkan infrastruktur supaya ia dapat memberi kebaikan, kemudahan dan keselesaan kepada pelabur.

Iklan

"Lebih-lebih lagi kita kini dalam perancangan untuk membesarkan Pelabuhan Kuantan dan membangunkan Bandar Aeroangkasa Pahang di Gebeng," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Pembukaan Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan LPT2 di sini pada Khamis.

Iklan

Majlis Perasmian Pembukaan Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan LPT2 pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah.

Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi serta semua pihak terlibat atas kerjasama dalam merealisasikan projek berkenaan yang berjaya disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

Sementara itu, Ahmad Maslan berkata, dengan pembukaan Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan itu, Plaza Tol Pelabuhan Kuantan akan mula beroperasi dan dibuka kepada semua pengguna lebuh raya bermula jam 6 pagi pada Jumaat.

Menurutnya, laluan berkenaan melibatkan jajaran sepanjang 11.5 kilometer yang merangkumi 10.1 kilometer di Pahang dan 1.4 kilometer di Terengganu.

"Projek ini dilaksanakan secara berfasa melalui lima pakej utama dengan kos keseluruhan RM400 juta. Persimpangan bertingkat ini pula disiapkan dengan kos RM145 juta," katanya.

Beliau berkata, semua pakej projek berkenaan telah disiapkan dan diserahkan kepada agensi berkaitan termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Sementara itu, dalam kenyataan bersama, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menjelaskan, Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan sebahagian pembangunan Jalan KPC Port Link yang dilaksanakan oleh ECERDC.

Menurutnya, pembangunannya bagi menyediakan akses terus antara LPT2 dengan Pelabuhan Kuantan, MCKIP, Kuantan Port City serta kawasan pembangunan utama di sekitarnya.

Jelasnya, persimpangan berkonsepkan reka bentuk trumpet ini boleh diakses dari kedua-dua arah, iaitu dari Kuala Terengganu dan Kuantan.

"Pembukaan persimpangan ini dijangka memberi penjimatan masa perjalanan sehingga 30 minit berbanding penggunaan jalan sedia ada, selain membantu mengagihkan aliran trafik dengan lebih efisien dan mengurangkan kesesakan di Jalan Persekutuan serta jalan -jalan utama sekitar Gebeng dan Pelabuhan Kuantan.

"Pembukaan akses baharu ini turut menyokong pertumbuhan kluster industri, perdagangan dan logistik yang merangkumi Pelabuhan Kuantan, MCKIP, kawasan perindustrian Gebeng dan Bandar Pelabuhan Kuantan," jelasnya.