MoF nafi sekatan peruntukan KKDW, RM300 juta tambahan diluluskan

Iklan
Kementerian Kewangan

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MoF) menafikan terdapat sebarang sekatan terhadap peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi projek jalan luar bandar, sebaliknya keseluruhan peruntukan berkenaan telah disalurkan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berpunca daripada peruntukan tahun semasa yang hampir keseluruhannya telah dibelanjakan.

Iklan
Iklan

“Tiada sebarang sekatan telah dibuat ke atas peruntukan KKDW berhubung jalan luar bandar.

“Peruntukan tersebut telah disalurkan sepenuhnya. Kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berbangkit disebabkan peruntukan tahun semasa telahpun dibelanjakan hampir sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap pendedahan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membangkitkan kebimbangan mengenai masalah yang dihadapi kontraktor susulan kelewatan bayaran bagi projek di bawah kementeriannya.

Ahmad Zahid sebelum ini menjelaskan beliau bukan marah, sebaliknya “panas” melihat masalah yang berlaku sehingga memberi kesan kepada kontraktor yang melaksanakan projek kerajaan. Beliau turut menegaskan keperluan menyelesaikan isu berkenaan supaya masalah bayaran tidak berlarutan.

Iklan

Dalam pada itu, Johan berkata, setiap kementerian bertanggungjawab merancang dan mengurus perbelanjaan berdasarkan peruntukan Belanjawan tahunan yang telah diluluskan Parlimen.

Katanya, sejak beberapa tahun lalu, KKDW telah membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek-projek jalan luar bandar.

Berdasarkan rekod yang dikemukakan MoF, pada 2022 KKDW menerima peruntukan RM1.1 bilion dan membelanjakan jumlah sama.

Bagaimanapun, pada 2023, peruntukan yang diluluskan berjumlah RM1.1 bilion, manakala perbelanjaan sebenar meningkat kepada RM1.8 bilion.

Pada 2024, sebanyak RM1.3 bilion diperuntukkan berbanding RM2 bilion perbelanjaan sebenar, manakala pada 2025 peruntukan berjumlah RM1.6 bilion dengan perbelanjaan sebenar RM2.3 bilion.

Bagi 2026, sebanyak RM2.1 bilion diperuntukkan dengan RM1.9 bilion telah dibelanjakan sehingga Jun lalu.

Johan berkata, MoF bekerjasama dengan KKDW untuk menangani isu berkenaan, antaranya dengan mengatur semula peruntukan KKDW berdasarkan keutamaan.

“Setakat ini, bagi tahun 2026, MoF telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata MoF juga sedang mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain bagi membantu menampung keterlebihan komitmen oleh KKDW.

“Pada masa yang sama, MoF juga dalam proses mengenal pasti penjimatan daripada Kementerian lain untuk membantu menampung keterlebihan komitmen oleh KKDW,” katanya.