PUTRAJAYA – Pemilihan calon bagi jawatan utama negara tidak wajar diserahkan kepada Perdana Menteri semata-mata, sebaliknya perlu melalui proses yang melibatkan penglibatan bermakna Parlimen.
Gesaan itu terkandung dalam kenyataan media bersama yang disokong 94 organisasi masyarakat sivil, dua parti politik dan 64 individu bagi mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen serta doktrin pengasingan kuasa.
Menurut kenyataan itu, proses pemilihan calon bagi jawatan utama negara perlu dilaksanakan secara telus dengan mengambil kira pandangan Parlimen, selain memelihara privasi dan maruah individu yang dipertimbangkan.
Kenyataan berkenaan turut menegaskan keputusan akhir perlu diserahkan kepada ahli politik yang dipilih rakyat merentas parti politik supaya mereka boleh dipertanggungjawabkan oleh pengundi.
Langkah itu penting bagi mengelakkan institusi diraja dibebankan dengan kontroversi politik, khususnya berkaitan proses pelantikan jawatan penting negara
"Keputusan akhir harus diserahkan kepada ahli politik yang dipilih rakyat merentas parti politik supaya boleh dipertanggungjawabkan oleh pengundi dan bukannya membebankan institusi diraja sehingga berisiko mengheret institusi yang mulia ini ke dalam kancah kontroversi politik," jelas gabungan tersebut.
Dalam pada itu, kumpulan berkenaan menggesa reformasi institusi diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi memastikan mana-mana gabungan atau parti yang berkuasa tidak menggugat kebebasan serta profesionalisme institusi negara.
Menurut kenyataan itu, pengasingan kuasa antara kerajaan yang dipilih rakyat dengan institusi tidak dipilih rakyat, sama ada badan bebas atau institusi sokongan didakwa semakin terhakis sepanjang lima dekad pemerintahan satu parti.
Antara institusi yang perlu dipastikan bebas daripada pengaruh Eksekutif ialah badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara (AGC), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Audit Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Kenyataan itu menegaskan institusi berkenaan perlu kekal bebas dan tidak memihak bagi memastikan fungsi semak dan imbang terhadap kerajaan serta Parlimen dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Pada masa sama, pandangan serta kebimbangan pihak berkepentingan termasuk AGC, perkhidmatan awam dan polis perlu diberikan perhatian dalam pelaksanaan reformasi institusi.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) disifatkan sebagai platform terbaik untuk mendapatkan pandangan semua pihak bagi memastikan reformasi berkenaan tidak membawa kepada kesan yang tidak dijangka.
Ketua institusi berkaitan turut diseru mengemukakan pandangan dan kebimbangan mereka secara telus dan terbuka melalui platform berkenaan, bukannya menerusi perbincangan tertutup.
Kenyataan bersama itu dimulakan oleh Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek SAMA), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center) dan Rasuah Busters.