Elak tambah beban kerja, pegawai polis Jeju mengaku tutup kes orang hilang

Iklan
Bu yang didakwa menutup kes orang hilang secara palsu di Pulau Jeju ketika meninggalkan Mahkamah Daerah Jeju pada 25 Ogos lalu. - FOTO: Korea JoongAng Daily.

JEJU - Seorang pegawai polis yang bertugas di Pulau Jeju, Korea Selatan mengaku menutup kes orang hilang di pulau peranginan popular itu tanpa menjalankan siasatan terlebih dahulu atas alasan tidak mahu menambah beban kerjanya, dedah Agensi Polis Wilayah Pemerintahan Sendiri Khas Jeju pada Selasa.

Memetik portal Korea JoongAng Daily, pegawai polis dikenali sebagai Bu itu ditahan kerana didakwa menutup kes orang hilang di Pulau Jeju selain dipercayai memberikan kenyataan palsu kepada keluarga individu yang terlibat.

Iklan
Iklan

Suspek berusia lingkungan 30-an yang kini dalam tahanan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya Daerah Jeju atas beberapa pertuduhan termasuk kecuaian semasa menjalankan tugas, memalsukan dan menggunakan rekod elektronik rasmi serta menghalang tugas rasmi dengan cara menipu.

Menurut agensi tersebut, Bu mengaku dirinya secara palsu memberitahu individu yang membuat laporan bahawa dia telah bercakap dengan orang yang hilang itu.

Iklan

"Dia menutup kes disebabkan merasa terbeban untuk menyerahkannya kepada pihak lain, memandangkan banyak lagi kerja susulan yang dia perlu buat jika kes terus dibuka," katanya.

Agensi Polis Wilayah Pemerintahan Sendiri Khas Jeju turut mendedahkan, hasil analisis dijalankan oleh 'profiler' mendapati faktor utama berpunca daripada keletihan pegawai polis tersebut akibat beban kerja terkumpul serta tanggungjawab yang semakin bertambah.

Iklan

“Tindak balas mengelak dan sikap tidak bertanggungjawab suspek akhirnya menyebabkan kes tersebut ditutup secara palsu," ujarnya.

Sebelum ini, empat individu yang dilaporkan hilang ditemukan meninggal dunia dalam tempoh tiga hari di Pulau Jeju ketika Balai Polis Jeju Seobu berdepan kontroversi susulan dakwaan seorang pegawainya memalsukan penutupan 298 kes orang hilang antara Mac 2025 hingga Julai 2026.

Penemuan terbaharu pada 24 Ogos antaranya membabitkan seorang wanita berusia 37 tahun, Jang Mi-ran yang dilaporkan hilang pada 15 Mei lalu.

Mayat Jang ditemukan kira-kira jam 10.46 pagi berhampiran sebuah ladang palma di Hallim-eup selepas 104 hari dilaporkan hilang.

Berita itu menjadi perhatian ramai selepas siasatan mendapati pegawai polis yang mengendalikan laporan kehilangan Jang disyaki menutup kes berkenaan secara palsu.

Bu didakwa memberitahu keluarga Jang bahawa dia sudah menghubungi wanita itu dan dimaklumkan Jang tidak mahu berhubung dengan keluarganya.

Bagaimanapun, semakan rekod komunikasi mendapati tiada bukti hubungan berkenaan pernah berlaku, menyebabkan siasatan terhadap tindakan pegawai polis itu diperluaskan.

Berdasarkan hasil pemeriksaan Perkhidmatan Forensik Kebangsaan Korea Selatan, mayat Jang mereput dengan teruk sehinggakan punca sebenar kematiannya tidak dapat ditentukan.

Bu turut didakwa menutup satu lagi kes orang hilang membabitkan lelaki berusia 60-an yang dilaporkan hilang pada 2 Julai dengan cara sama.

Walaupun Bu sebenarnya tidak pernah bercakap dengan lelaki tersebut, laporan tertulis bahawa panggilan telefon telah dibuat dan dia membuat kenyataan palsu mengatakan mangsa yang tidak mahu menghubungi keluarganya.

Operasi pencarian terhadap lelaki itu juga hanya dimulakan selepas keluarganya berulang kali membuat laporan kehilangan.

Lelaki itu bagaimanapun ditemukan meninggal dunia pada 22 Ogos di sebuah tapak pembinaan di Songdang-ri, Gujwa-eup, Jeju City, dua hari sebelum penemuan mayat Jang.

Berdasarkan 298 kes itu, 63 daripadanya dipercayai tidak pernah dimasukkan ke dalam sistem pemprofilan orang hilang.

Polis kini meneliti kes-kes tersebut dengan mengasingkan kes yang ditutup mengikut prosedur, kes yang gagal direkodkan serta kes yang rekodnya mungkin sengaja dipadamkan.

Sementara itu, Pejabat Pendakwa Raya Daerah Jeju menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyoal motif di sebalik kesalahan didakwa dilakukan Bu, sama ada terdapat kes tambahan ditutup secara palsu atau keterlibatan mana-mana pihak yang mengalami kemudaratan akibat perbuatannya.

Agensi Polis Kebangsaan Korea Selatan dalam masa sama menjalankan siasatan dalaman terhadap pegawai pengurusan yang bertanggungjawab menyelia Bu ketika itu termasuk rakan-rakan setugasnya.

Setakat ini, tiada pegawai polis lain didakwa atau dikenakan tindakan seperti suspek berhubung kes itu.