KUANTAN - Sebuah keluarga sanggup menempuh perjalanan sejauh 213 kilometer (km) dari Lipis ke Kuantan semata-mata mahu menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 peringkat negeri Pahang di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 4 di sini pada Isnin.
Penjawat awam, Fairul Alimi Ahmad, 39, berkata, mereka sekeluarga bertolak dari Kuala Lipis sejak semalam untuk meraikan ambang Hari Kebangsaan sebelum menyaksikan sambutan pada hari ini.
Menurutnya, keputusan membawa isteri dan tiga anak berusia antara tujuh hingga 13 tahun ke Kuantan kerana mahu memberikan pengalaman berbeza kepada keluarganya selain menyemai semangat patriotik dalam diri mereka.
"Selama ini kami sambut di Lipis sahaja, jadi tahun ini kami mahu cuba suasana yang berbeza di Kuantan.
"Perjalanan sehala dari Lipis ke Kuantan sejauh 213 km, bermakna keseluruhan perjalanan pergi dan balik kami adalah 426 km," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Fairul Alimi berkata, faktor jarak jauh dan keletihan bukan alasan untuk mereka membatalkan hasrat kerana peluang menyaksikan sambutan peringkat negeri dianggap pengalaman bermakna buat keluarga.
“Walaupun memenatkan dan perjalanan jauh, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat kami.
"Ini sebenarnya ikhtiar kami sebagai ibu bapa demi menyemarakkan semangat merdeka dalam diri anak-anak supaya mereka faham erti kebebasan dan kedaulatan negara," katanya.
Semangat untuk menyaksikan kemeriahan sambutan itu turut dikongsi pengunjung, Siti Nuraisyah Abd Rashid, 26, yang tiba di Padang Kemunting seawal jam 6.30 pagi bersama suaminya.
Dia mengakui terlalu teruja untuk menyaksikan acara berkenaan sehingga tidak dapat tidur nyenyak pada malam sebelumnya.
"Ini kali pertama saya hadir menyaksikan dan meraikan Hari Kebangsaan di Pahang kerana sebelum ini menetap di Kedah.
"Sejujurnya, saya paling tertunggu-tunggu mahu melihat aksi terjunan udara daripada Pasukan Khas Udara (PASKAU). Rasa meremang bulu roma dan sangat bangga dapat lihat kehebatan wira negara secara depan mata," katanya.
Bagi suri rumah, Sry Wahyuni Addy Sham, 49, kehadirannya pada sambutan kali ini membawa makna lebih istimewa apabila dia hadir untuk menyaksikan anaknya menyertai perbarisan.
"Setiap tahun kami tidak pernah culas untuk hadir. Kalau dulu suami yang berarak, tetapi selepas dia bersara, giliran anak pula menyambung tugas itu.
"Tahun ini penuh dengan rasa sebak dan bangga kerana ini perarakan terakhir buat keluarga kami sebelum anak bersara sepenuhnya daripada perkhidmatan," ujarnya lagi.