KUANTAN – Tidak pernah memenangi sebarang cabutan bertuah sebelum ini, seorang peniaga membawa pulang sebuah Proton Saga selepas namanya diumumkan sebagai pemenang hadiah utama sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Pahang pada Isnin.
Nurul Atirah Zainal Abidin, 25, berkata, kemenangan itu mengejutkan kerana dirinya tidak menjangkakan pulang membawa sebuah kereta selepas hadir ke sambutan berkenaan.
“Saya memang tak sangka langsung kerana hari ini saya datang dengan suami, anak saudara dan bapa saudara, tiba-tiba dapat kereta sendiri.
"Memang rezeki,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan itu di Padang MBK 4 Kemunting di sini pada Selasa.
Hadiah tersebut disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Berkongsi lanjut, Nurul Atirah memberitahu, kemenangan tersebut amat bermakna kerana hadiah berkenaan dapat membantunya menjalankan perniagaan penghantaran kek yang diusahakannya.
“Sebelum ini saya guna kereta suami untuk buat penghantaran kek dan kami memang kongsi kereta, jadi selepas ini saya boleh gunakan kereta sendiri untuk urusan perniagaan.
“Alhamdulillah, kereta ini bukan sahaja hadiah tetapi boleh membantu saya cari rezeki,” ujarnya.
Menceritakan detik sebelum namanya diumumkan, Nurul Atirah memberitahu, ketika itu dia bersama suami, anak saudara dan bapa saudaranya sudah mahu meninggalkan lokasi sambutan.
"Suami sempat cakap pada saya kalau Proton Saga itu nama orang lain, kita balik sajalah.
“Tak sangka selepas itu nama sendiri yang naik memang terkejut dan tidak percaya,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Hairi Shahrel, 42, turut membawa pulang sebuah Perodua Bezza menerusi cabutan bertuah berkenaan.
Menurut penjawat awam, kehadiran bersama isteri dan dua anak bagi menyaksikan seorang lagi anaknya menyertai perarakan sempena sambutan tersebut.
“Saya memang tidak sangka nama saya tiba-tiba dipanggil sebagai pemenang kereta.
“Datang ke sini naik kereta, balik nanti ada sebuah lagi kereta baharu," katanya.
Tambahnya, Perodua Bezza berkenaan akan diserahkan kepada isterinya terutama bagi memudahkan urusan menghantar dan mengambil anak-anak ke sekolah.
Selain dua kereta berkenaan, tiga motosikal Modenas masing-masing dimenangi Nur Izzawatie Razali, 39; Farrah Suhaida Ghazali, 48; dan Noor Hidayah Ismail, 39.