SHAH ALAM - Seorang lelaki warga asing maut dipercayai dirempuh sebuah kenderaan ketika sedang melintas Jalan Bukit Kemuning dari arah Sri Muda menghala ke Klang di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.20 pagi melibatkan seorang pejalan kaki dan sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 45 tahun dipercayai sedang melintas jalan sebelum dilanggar kenderaan berkenaan.
"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Shah Alam untuk urusan bedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sarudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-286 3875," katanya.