PUTRAJAYA - Jumlah rakyat Malaysia yang dilaporkan tidak dapat dihubungi kekal 36 orang di China dan 55 orang di Nepal, meskipun sebelum ini dilaporkan tiga rakyat Malaysia merupakan antara warga asing yang belum dapat dikesan susulan kejadian gelongsoran lumpur di Pelabuhan Gyirong, Xizang, China.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Kementerian Luar, yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, mengambil maklum laporan pihak berkuasa Xizang bahawa tiga rakyat Malaysia merupakan antara warga asing yang belum dapat dikesan susulan kejadian gelongsoran lumpur pada 26 Ogos di Pelabuhan Gyirong.
"Kementerian mengesahkan bahawa tiga rakyat Malaysia berkenaan telah pun termasuk dalam 36 rakyat Malaysia yang kini dilaporkan tidak dapat dihubungi di China dan bukan merupakan kes tambahan. Justeru, angka semasa kekal 36 rakyat Malaysia (di China) dan 55 rakyat Malaysia (di Nepal).
"Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dan Kathmandu terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan keselamatan dan lokasi mereka yang masih tidak dapat dihubungi, selain membuat semakan silang maklumat dari kedua-dua negara bagi mengenal pasti sebarang duplikasi,” menurut kenyataan itu.
Kementerian berkata sejak beberapa hari lepas, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu turut memberikan bantuan konsular kepada anggota keluarga rakyat Malaysia yang masih tidak dapat dihubungi dan yang pergi ke ibu negara Nepal itu.
Ia berkata kedutaan turut memberikan perkembangan terkini mengenai situasi semasa serta panduan berhubung prosedur tempatan, membantu menyelaras dengan pihak berkuasa Nepal yang berkaitan dan jika perlu, mengiringi anggota keluarga ke kemudahan berkaitan di Kathmandu.
"Anggota keluarga turut dinasihatkan supaya mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa Nepal manakala Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dan Beijing terus berhubung dengan pihak berkuasa masing-masing bagi mendapatkan akses ke kawasan yang lebih hampir dengan lokasi terjejas.
Sebarang pergerakan pegawai Malaysia ke kawasan berkenaan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan serta keadaan keselamatan dan akses semasa di lapangan,” katanya.
Sementara itu, Bilik Gerakan Kementerian di Putrajaya terus beroperasi 24 jam bagi menyelaras maklumat dan membantu rakyat Malaysia di kawasan terjejas serta keluarga mereka.
Rakyat Malaysia di kawasan terjejas, serta anggota keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan, boleh menghubungi Bilik Gerakan Kementerian Luar di +603 8887 4570 atau melalui e-mel di dutyofficer@kln.gov.my.
Kementerian turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang belum disahkan sementara usaha untuk memastikan keselamatan dan lokasi rakyat Malaysia berkenaan masih dijalankan, sambil menjelaskan yang perkembangan lanjut akan disampaikan berdasarkan maklumat yang disahkan dan diterima melalui saluran rasmi. - Bernama