KULAI - Seramai 69 warga asing dan dua pegawai sumber manusia warga tempatan di sebuah kilang ditahan menerusi serbuan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Johor di beberapa premis sekitar daerah ini pada Jumaat, jam 2.30 petang.
Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, warga asing yang ditahan melibatkan 47 lelaki dan 22 perempuan berusia lingkungan 24 hingga 45 tahun.
Menurutnya, operasi yang dijalankan di kilang elektronik, pusat cucian kenderaan dan rumah kedai itu hasil risikan serta aduan berikutan premis-premis tersebut disyaki dijadikan tempat tinggal warga asing.
“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Operasi itu turut memeriksa status dokumen perjalanan warga asing, ketulenan pas dan permit serta pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan kepada majikan.
Imigresen turut mengeluarkan tujuh keping saman Borang 29 kepada saksi bagi membantu siasatan.
“Semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika bagi siasatan lanjut,” katanya.
Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, termasuk majikan atau pihak yang didapati sengaja melindungi, menggaji atau bersubahat dengan pendatang asing tanpa izin.