Lelaki bunuh kekasih kerana 'tertekan' didesak berkahwin, sorok mayat dalam guni

Iklan
Kes pembunuhan itu terbongkar selepas polis menerima panggilan melalui talian Dial 100. Foto NDTV

HYDERABAD - Seorang wanita berusia 21 tahun dipercayai dibunuh kekasihnya sebelum mayatnya disembunyikan di dalam guni di sebuah kediaman sewa di Hyderabad, India.

Mangsa dikenali sebagai Rehana, berasal dari Bihar dan bekerja di sebuah dewan acara.

Iklan
Iklan

Menurut polis, Rehana dipercayai menjalin hubungan dengan seorang lelaki berusia 21 tahun, Ahmad Salam, yang juga berasal dari Bihar, sejak kira-kira setahun lalu.

Polis mengesyaki pembunuhan itu berpunca daripada pertengkaran pasangan terbabit berkaitan hubungan mereka serta dakwaan Rehana mempunyai hubungan rapat dengan lelaki lain.

Iklan

Pihak berkuasa turut mendakwa Rehana sering mendesak Salam supaya mengahwininya, sekali gus dipercayai mencetuskan ketegangan antara mereka.

Menurut polis, pertengkaran pasangan itu dipercayai bertukar ganas sebelum Salam didakwa menyerang Rehana menggunakan pisau sehingga menyebabkan kematiannya.

Iklan

Selepas kejadian, suspek dipercayai memasukkan mayat mangsa ke dalam guni dalam usaha menyembunyikan jenayah tersebut sebelum melarikan diri.

Kes itu terbongkar selepas polis menerima panggilan melalui talian Dial 100 sekitar jam 5 pagi waktu tempatan pada 17 Ogos lalu.

Susulan panggilan berkenaan, seorang Sub-Inspektor bergegas ke lokasi dan menemui mayat seorang wanita yang dibalut di dalam guni di bilik tidur.

ACP Adibatla, Pradeep Kumar Reddy berkata, pemeriksaan awal mendapati wanita terbabit mengalami pendarahan dan dipercayai telah dibunuh.

“Sekitar jam 5 pagi, kami menerima panggilan melalui Dial 100. Sub-Inspektor tiba di lokasi dan mendapati seorang wanita dibalut di dalam guni serta mengalami pendarahan,” katanya.

Polis kemudian menghubungi keluarga mangsa dan mendapatkan maklumat berkaitan hubungan Rehana dengan suspek.

Menurut polis, Salam bekerja sebagai buruh di dewan atau lokasi penganjuran majlis dan kini masih diburu.

“Suspek Ahmad Salam berusia 21 tahun dan bekerja sebagai buruh di dewan majlis. Dia dan Rehana telah menjalin hubungan kira-kira setahun. Mangsa dilaporkan mendesaknya berkahwin sebelum dia didakwa menikam mangsa menggunakan pisau,” kata Pradeep Kumar Reddy.

Pihak polis turut menyiasat sama ada terdapat individu lain yang mungkin terlibat dalam kejadian berkenaan.

Mayat Rehana telah dihantar ke bilik mayat Hospital General Osmania untuk bedah siasat.

Kes pembunuhan telah didaftarkan dan usaha mengesan Salam sedang dijalankan.

Polis juga sedang menyiasat kronologi sebenar kejadian serta motif pembunuhan sebelum tindakan lanjut diambil mengikut undang-undang. - Agensi