KUALA LUMPUR - Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat, atas pertuduhan menyalahgunakan wang hasil jualan barangan milik sebuah syarikat berjumlah RM2,176.
Tertuduh, Tong Ban Tat, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Heng Yi Min.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan pemilik syarikat Ah Tat Station didakwa secara tidak jujur dan curang menggunakan untuk kegunaan sendiri wang berjumlah RM2,176 pada Oktober 2024 di No. 71, Jalan Midah 7, Taman Midah di sini.
Wang itu didakwa merupakan hasil jualan komputer riba jenis Lenovo, komputer riba ThinkPad, peranti elektronik jenis iPad dan produk kecantikan Sacha Inchi Oil yang dimiliki syarikat Ah Leng Live Mall.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, dengan sebatan serta denda.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan kes kemudiannya ditetapkan pada 16 Oktober untuk serahan dokumen.