LUMUT - Sebuah vesel kargo berdaftar di Gambia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan negara berhampiran Pulau Jarak di sini pada Sabtu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, vesel berkenaan ditahan pada kedudukan kira-kira 4.3 batu nautika barat daya Pulau Jarak selepas dikesan menerusi radar Sistem Pengawasan Maritim (SWASLA) Lumut.
Menurutnya, maklumat pengesanan itu disalurkan Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak kepada aset penguatkuasaan untuk tindakan pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan 21 kru terdiri daripada 11 warga Pakistan, lapan warga Iran dan dua warga Indonesia.
"Pemeriksaan selanjutnya mendapati vesel tersebut disyaki melakukan dua kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia serta gagal memaklumkan ketibaan vesel di perairan Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Zainudin berkata, susulan penahanan itu, nakhoda dan ketua jurutera vesel berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak bagi membantu siasatan.
Katanya, dokumen berkaitan kapal turut disita untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia.
Menurutnya, kes disiasat mengikut peruntukan berkaitan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Zainudin menegaskan setiap vesel yang memasuki atau berada di perairan Malaysia wajib mematuhi undang-undang serta peraturan maritim yang berkuat kuasa.
Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang salah laku atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak di talian 05-683 8737 atau talian kecemasan 999.