GEORGE TOWN - Suami isteri antara tujuh individu yang ditahan dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang membabitkan rampasan pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan lebih RM3.2 juta dalam beberapa operasi sepanjang Ogos ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim berkata, pasangan suami isteri itu merupakan empat individu yang ditahan dalam operasi di Tanjung Tokong antara 15 hingga 16 Ogos lalu.
Menurutnya, mereka terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 23 hingga 35 tahun.
“Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai lebih RM1.17 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Jumaat.
Dennis berkata, keempat-empat suspek telah direman selama 13 hari bermula 16 hingga 28 Ogos bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan sama, Dennis berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun di Butterworth kira-kira jam 6 petang, 15 Ogos lalu.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat kira-kira tiga kilogram yang dianggarkan bernilai lebih RM450,000.
"Suspek direman selama lima hari bermula 16 hingga 20 Ogos sebelum dijamin atas arahan Timbalan Pendakwa Raya sehingga laporan kimia diperoleh," katanya.
Susulan daripada itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun ditahan kira-kira jam 10 malam di Butterworth pada 19 Ogos lalu.
"Dalam penahanan itu, polis merampas serbuk MDMA seberat kira-kira 1.3kg bernilai lebih RM10,000 daripada suspek.
"Suspek direman selama enam hari bermula 20 hingga 25 Ogos lalu," ujarnya.
Sementara itu, pada 22 Ogos kira-kira jam 10.50 malam, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Seberang Perai Tengah menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun di Bukit Mertajam.
Dennis berkata, dalam operasi itu, polis merampas serbuk MDMA seberat 8.4kg, 1,755 pil ekstasi, 1,000 pil Erimin 5, 0.63kg ketamin serta sembilan katrij cecair syabu dengan nilai keseluruhan melebihi RM1.38 juta.
"Suspek direman selama tujuh hari bermula 23 hingga 29 Ogos untuk siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952.
"Hasil risikan mendapati semua suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Mei lalu di sekitar Pulau Pinang. Ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis morfin, amfetamina dan methamphetamine.
“Semakan rekod lampau pula mendapati lima suspek mempunyai rekod kes jenayah dan narkotik,” katanya.
Beliau menambah, polis turut membuat sitaan barangan dianggarkan bernilai RM89,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Kejayaan ini hasil risikan berterusan JSJN serta kerjasama orang awam. PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam pengedaran dadah.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah boleh menyalurkannya menerusi Hotline JSJN di talian 0122087222," katanya.