Salinan Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 khazanah berharga disimpan Cikgu Jamal

Iklan
Cikgu Jamal menunjukkan salinan Pemasyhuran Kemerdekaan yang menjadi antara koleksi paling berharga dalam simpanannya.

PONTIAN – Lebih enam dekad selepas laungan keramat ‘Merdeka’ bergema pada 31 Ogos 1957, sejarah detik kelahiran negara masih tersimpan rapi di sebuah galeri kecil di Kampung Serkat di sini.

Di sebalik helaian dokumen yang semakin dimamah usia, surat khabar lama dan pelbagai cenderamata kemerdekaan, tersimpan kisah perjuangan serta semangat rakyat ketika menyambut pembebasan Tanah Melayu daripada penjajah.

Iklan
Iklan

Bagi bekas guru sejarah, Jamal Ahmad, 60, dokumen bersejarah itu bukan sekadar helaian lama, sebaliknya merupakan antara khazanah paling bernilai dalam koleksi yang dikumpulkannya selama puluhan tahun.

Akhbar hari pertama kemerdekaan antara koleksi istimewa yang masih dijaga Cikgu Jamal.

Iklan

Antara koleksi paling istimewa dalam simpanannya ialah salinan Watikah Pemasyhuran yang terdapat dalam beberapa bahasa termasuk tulisan Jawi, Bahasa Inggeris, Tamil dan Cina.

Menurut Jamal, dokumen berkenaan antara salinan yang diedarkan kepada penghulu dan ketua masyarakat ketika negara mencapai kemerdekaan bagi membolehkan pengisytiharan itu diketahui oleh penduduk di kawasan masing-masing.

Iklan

“Warkah Pemasyuharan sering menjadi rujukan apabila tiba Sambutan Hari Kemerdekaan setiap tahun,” katanya ketika ditemui Galeri Antik Wajo Astana, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Jamal memberitahu pernah ditawarkan sehingga RM100,000 daripada individu yang berminat membeli dokumen pemasyhuran kemerdekaan, namun tidak menjualnya.

Selain dokumen pemasyhuran kemerdekaan, Jamal turut menyimpan naskhah surat khabar yang diterbitkan pada hari pertama kemerdekaan serta pelbagai penerbitan berkaitan peristiwa sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Beliau juga memiliki lebih 100 cenderamata yang dihasilkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan pertama antaranya termasuk gelas, cawan, pinggan, majalah dan sampul surat.

“Kalau tengok cenderamata yang dikeluarkan, memang macam-macam ada. Syarikat pun mengeluarkan barangan kenangan sempena kemerdekaan.

Cawan cenderamata bertemakan kemerdekaan antara koleksi unik.

“Semua kaum dan pelbagai pihak meraikan kemerdekaan. Sebab itu, koleksi ini sangat menarik kerana kita boleh lihat bagaimana masyarakat ketika itu begitu teruja menyambut Hari Kemerdekaan,” katanya.

Minat Jamal terhadap barangan lama bermula sejak usia muda apabila beliau mula menyimpan koleksi sedikit demi sedikit.

“Dalam dunia mengumpul barang antik, kita kena fokus. Saya fokus kepada bahan berkaitan kemerdekaan 31 Ogos 1957.

“Kadang-kadang kita tahu seseorang itu menyimpan barang lama, jadi kita pergi cari. Ada yang mahu lepaskan dan ada yang masih mahu simpan. Tetapi lama-kelamaan, kita akan jumpa juga,” katanya.

Pada mulanya, bangunan yang kini dikenali sebagai Galeri Antik Wajo Astana itu hanya dibina untuk menyimpan koleksi yang semakin bertambah.

Minat Jamal terhadap barangan lama bermula sejak usia muda apabila beliau mula menyimpan koleksi sedikit demi sedikit.

Namun, apabila semakin ramai yang mengetahui mengenai koleksinya dan mahu datang melihat, Jamal mula membuka ruang berkenaan sebagai galeri.

Kini, galeri itu bukan sahaja menyimpan bahan berkaitan kemerdekaan, malah mempunyai antara 400 hingga 500 pelbagai barangan lama dan antik.

Bagi Jamal, koleksi yang dikumpulkannya bukan sekadar minat peribadi, sebaliknya satu usaha kecil memastikan cebisan sejarah negara tidak hilang ditelan masa.

“Saya mahu orang ramai tahu kita rakyat Malaysia ada kenangan yang cukup indah ketika negara mencapai kemerdekaan," ujarnya.