KATHMANDU – Nepal dan China memberi amaran mengenai risiko banjir baharu di kawasan Himalaya susulan peningkatan paras air di dua tasik yang terbentuk di kedua-dua belah sempadan negara berkenaan dan dikhuatiri boleh pecah.
Kebimbangan itu timbul ketika kawasan berkenaan masih bergelut dengan kesan banjir kilat besar yang berlaku sebelum ini.
Kedua-dua negara dilaporkan menyalahkan kejadian banjir tersebut berpunca daripada runtuhan glasier yang menolak batu, ais, lumpur dan serpihan ke dalam sistem sungai di kawasan pergunungan.
Pihak berkuasa pengurusan bencana Nepal pada Khamis mengeluarkan notis amaran selepas sebuah tasik yang terbentuk akibat timbunan serpihan menyekat aliran sungai di lokasi banjir didapati semakin meningkat paras airnya.
Pihak berkuasa berkata, keadaan itu menimbulkan risiko tasik berkenaan pecah dan menyebabkan limpahan air secara mendadak ke kawasan hilir.
Dalam perkembangan sama, China turut memberi amaran mengenai risiko pecahnya sebuah tasik yang terbentuk akibat halangan di laluan sungai di kawasan sempadannya.
BERITA BERKAITAN: Banjir Nepal: Angka kematian meningkat 160 orang, lebih 680 masih hilang
Banjir Nepal: Lebih 50 rakyat Malaysia gagal dihubungi
95 maut, 484 hilang susulan banjir di utara Nepal
17 rakyat Malaysia antara ratusan hilang susulan banjir kilat di Nepal
Lebih 380 pelancong termasuk 291 warga asing hilang selepas banjir di Nepal
11 rakyat Malaysia tidak dapat dihubungi susulan banjir di Nepal - Wisma Putra
Menurut pihak berkuasa China, kira-kira tiga juta meter padu air dijangka mengalir ke tasik yang telah terbendung itu dalam tempoh tiga hari akan datang.
Jumlah air berkenaan adalah bersamaan kira-kira 1,200 kolam renang bersaiz Olimpik.
Keadaan itu dijangka meningkatkan tekanan terhadap halangan semula jadi yang menahan aliran air dan sekali gus mencetuskan risiko limpahan atau pecahan.
Aliran air dijangka mencapai tahap maksimum sekitar Isnin, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya banjir baharu di kawasan berhampiran.
Pihak berkuasa kedua-dua negara kini memantau perkembangan keadaan dengan teliti ketika operasi menyelamat dan usaha membantu penduduk yang terjejas akibat banjir sebelum ini masih diteruskan.- Agensi