SIK - Dua butir bom lama jenis mortar ditemukan di kawasan kebun di Kampung Tanjung Setar dekat sini, pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Sik, Superintenden Shamzury Saman berkata, objek pertama menyerupai bom itu ditemukan seorang lelaki yang merupakan pemilik kebun sewaktu membersihkan kawasan itu sebelum bertindak menghubungi polis.
"Siasatan di tempat kejadian mendapati bom yang dijumpai merupakan sebutir UXO jenis Mortar 60 milimeter (mm) dengan ukuran panjang 32 sentimeter (cm) dan ukur lilit 20 cm.
"Bom tersebut dalam keadaan berkarat dan berada di dalam lubang tanah," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.
Beliau berkata, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah telah menjalankan ‘flushing’ dengan kaedah ‘Offensive Search’ menggunakan ‘Metal Detector’ (Vallon) dalam jarak radius 25 meter.
"Sebutir lagi bom jenis Mortar 81 mm berukuran panjang 41 cm dan ukur lilit 25 cm ditemui di lokasi berhampiran penemuan UXO yang pertama.
"UPB IPK Kedah bersama Unit Persenjataan IPD Sik telah menjalankan pemusnahan bom sebanyak dua kali dengan letupan pertama pada 2.40 petang dan letupan kedua pada 3.30 petang semalam," katanya.
Beliau berkata, pemusnahan bom lama itu dijalankan tanpa sebarang insiden dan kerosakan harta benda.
"Operasi pemusnahan bom selesai sepenuhnya pada 4 petang semalam," katanya. - Bernama