Tengku Amir kongsi pengalaman jadi bapa buat kali pertama

Iklan
Tengku Amir melawat (kanan) reruai selepas sesi Program Dialog Diraja di Hyprground Pickleball, Seksyen 19 pada Khamis.

PETALING JAYA - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkongsi pengamalan baginda menyambut kelahiran cahaya mata terutama ketika pertama kali mendukung puteri sulung, Tengku Alia Amira Tengku Amir Shah yang dilahirkan pada 21 Julai lalu.

Tengku Amir bertitah, pengalaman itu menyedarkan baginda mengenai betapa pentingnya masa untuk sebuah keluarga bersama khususnya pada fasa awal selepas kelahiran cahaya mata.

Iklan
Iklan

"Saya sedar daripada pengalaman sendiri betapa banyak masa diperlukan sebuah keluarga untuk bersama," titah baginda ketika Program Dialog Diraja dan Sesi Rangkaian Perniagaan Nadi di Hyprground Pickleball, Seksyen 19 di sini pada Khamis.

Tengku Amir turut menyentuh mengenai tempoh cuti bersalin dan cuti khas untuk bapa di Malaysia yang disifatkan masih belum mencukupi bagi memberi ruang kepada ibu bapa bersama selepas kelahiran anak.

Iklan

Menurut baginda, peranan bapa juga penting dalam memberikan sokongan kepada isteri untuk melalui proses pemulihan selepas bersalin.

"Sebagai bapa apa yang kita boleh lakukan ialah menyokong isteri untuk pulih, kekal sihat dan mendapat pemakanan yang baik kerana mereka adalah sumber kehidupan kepada bayi," titah baginda.

Iklan

Dalam pada itu, baginda turut berkongsi pengalaman keluarga mengamalkan tradisi berpantang selepas kelahiran anak termasuk mendapatkan khidmat urutan serta penjagaan makanan dan pemakanan.

Baginda turut mendedahkan pernah mengunjungi sebuah pusat berpantang ketika pasangan baginda mengandung dan terkejut melihat kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan.

"Saya melihat pusat itu dan terfikir ia sangat menakjubkan lebih baik daripada hotel dengan perkhidmatan 24 jam dan bertaraf tinggi.

"Saya rasa pasaran ini sememangnya sedang berkembang," titah baginda.

Tengku Amir bertitah, amalan berpantang dan penjagaan tradisional Asia Tenggara juga semakin mendapat perhatian masyarakat Barat.

Titah baginda, perkembangan media sosial turut menyebabkan kandungan berkaitan amalan berpantang tradisional dari Asia Tenggara semakin mudah mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.

"Saya melihat orang Amerika dan Eropah mula mengikuti amalan berpantang dan kesejahteraan tradisional Asia Tenggara.

"Malah, ada wanita Indonesia yang pergi ke Amerika untuk menjalankan amalan berpantang bagi masyarakat Barat dan mereka sangat memuji amalan kita," titah baginda.