KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor meningkat pagi ini, namun berkurangan di Perak manakala sebuah PPS masih beroperasi di Negeri Sembilan.
Di SELANGOR, mangsa banjir pada pagi ini meningkat kepada 1,869 mangsa daripada 522 keluarga di 13 PPS berbanding 1,764 mangsa daripada 482 keluarga direkodkan petang semalam.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa tertinggi direkodkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Maharaja Lela, iaitu 401 orang diikuti SK Parit Mahang (365), Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (224), Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (143) dan SK Rantau Panjang (134).
PPS lain ialah SRA Batu 8 Ijok yang menempatkan 120 mangsa, SK Sultan Abdul Aziz (187), SK Jaya Setia (97), Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (66), Dewan Orang Ramai Seri Harmoni (62), SK Sungai Binjai (25), SK Batu Arang (25) dan Balai Raya Kampung Sungai Kelambu (20).
Di PERAK, mangsa banjir di lapan PPS di lima daerah menurun sedikit kepada 499 mangsa daripada 169 keluarga pagi ini berbanding 500 mangsa daripada 172 keluarga pada petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan daerah Kerian mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 164 mangsa daripada 52 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Bukit Merah dan SK Parit Haji Aman.
Di Manjung, sebanyak 131 mangsa daripada 39 keluarga berlindung di PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai manakala di Hilir Perak, 97 mangsa daripada 31 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandran Teluk Intan.
Sementara itu, Perak Tengah merekodkan 92 mangsa yang ditempatkan di PPS SK Dato' Sagor dan SK Tanjung Belanja, manakala 15 mangsa daripada enam keluarga di daerah Larut, Matang dan Selama berlindung di PPS SK Batu Hampar.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca pada waktu pagi adalah baik di seluruh Perak, namun ribut petir dan hujan dijangka pada petang dan malam ini.
Di NEGERI SEMBILAN, PPS SK Jimah di Port Dickson menempatkan 39 mangsa daripada 12 keluarga setakat 8.46 pagi ini.
Berdasarkan data InfoBencana JKM, mereka terdiri daripada 16 lelaki, lapan wanita dan 15 kanak-kanak termasuk bayi. - Bernama.