KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa graduan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) supaya tidak sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya tampil sebagai inovator, pemegang paten, usahawan teknologi dan pemilik industri masa depan.
Beliau berkata, dalam era kecerdasan buatan (AI), robotik dan ekonomi hijau, UniKL perlu memberi tumpuan kepada tiga keutamaan bagi memastikan graduannya mampu memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada pembangunan negara.
Menurutnya, keutamaan pertama ialah menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan kerjaya utama, sekali gus menghapuskan stigma bahawa bidang itu merupakan pilihan kedua.
"UniKL telah melahirkan lebih 100,000 graduan teknikal, dengan kadar kebolehpasaran melebihi 95 peratus, dan alumninya berkhidmat di lebih 20 negara.
"Ukuran akhirnya ialah kerjaya profesional dan gaji yang bermaruah," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-23 UniKL 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini pada Sabtu.
Majlis itu turut dihadiri Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, keutamaan kedua ialah mengubah peranan graduan daripada pengguna kepada pemilik teknologi.
"Graduan UniKL jangan sekadar memasang cip atau menyelenggara mesin. Jadilah inovator, pemegang paten, technopreneur dan pemilik industri masa depan," katanya.
Keutamaan ketiga pula ialah menjadikan pendidikan sebagai pemangkin mobiliti sosial, khususnya dalam mengubah kehidupan graduan dan keluarga mereka, termasuk anak Bumiputera, masyarakat luar bandar serta golongan berpendapatan rendah (B40).
Beliau berkata, kejayaan pendidikan dapat dilihat apabila ia berupaya mengubah taraf kehidupan seseorang dan memutuskan kitaran kemiskinan.
"Contohnya apabila anak penoreh getah menjadi jurutera penerbangan, itulah pendidikan yang memutuskan kitaran kemiskinan," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan graduan bahawa majlis konvokesyen bukan noktah perjalanan, sebaliknya permulaan kepada fasa kehidupan baharu.
Beliau menitipkan empat amanat kepada graduan, iaitu memelihara integriti, membina daya tahan, menyuburkan semangat keusahawanan dan berbakti kepada watan.
Beliau turut mengingatkan graduan supaya menghargai pengorbanan ibu bapa yang menjadi antara tunjang kejayaan mereka.
"Pandanglah ibu bapa anda di dewan ini. Di sebalik kejayaan hari ini ada pengorbanan, keringat dan doa yang tidak pernah putus.
"Balaslah jasa mereka, dan gunakanlah ilmu untuk berbakti kepada nusa dan bangsa," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid bersama warga kementerian, Mara dan UniKL mengucapkan tahniah kepada semua graduan serta ibu bapa, selain menyampaikan penghargaan kepada seluruh kepimpinan universiti itu.
Beliau turut merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Sultan Pahang kerana berkenan berangkat ke majlis berkenaan.