Muktamar Pas perlu fokus agenda pemerintahan nasional, bukan sekadar gabungan politik

Iklan
Kedudukan Pas kini jauh lebih kukuh berbanding sebelum ini selepas parti itu memenangi 43 kerusi Parlimen pada PRU15. Gambar kecil: Zaharuddin

SEREMBAN - Muktamar Pas ke-72 yang dijadualkan berlangsung pada awal September ini dijangka menjadi medan perbahasan bukan sahaja berkaitan ideologi parti, tetapi strategi kuasa menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Penganalisis politik, Dr Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, kedudukan Pas kini jauh lebih kukuh berbanding sebelum ini selepas parti itu memenangi 43 kerusi Parlimen pada PRU15, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 74 kerusi secara keseluruhan.

Iklan
Iklan

Namun katanya, persoalan utama ketika ini bukan lagi sama ada Pas mampu menjadi kuasa besar Melayu-Islam, sebaliknya sejauh mana kekuatan elektoral itu mampu diterjemahkan kepada tawaran pemerintahan di peringkat nasional.

"Saya menjangka isu hubungan Pas dengan UMNO-Barisan Nasional (BN) menjadi antara perkara yang menarik perhatian kerana UMNO sendiri telah mengesahkan kehadirannya ke Muktamar Pas, selain Pas mengakui UMNO sebagai rakan kerjasama politik.

Iklan

"Dari sudut matematik pilihan raya, penyelarasan antara kedua-dua parti mempunyai logik bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan memaksimumkan jumlah kerusi yang boleh dimenangi," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Namun katanya, politik negara tidak boleh berhenti pada matematik kerusi yang dimenangi parti pada pilihan raya semata-mata, sebaliknya bagaimana keupayaan untuk mentadbir negara.

Iklan

Selain itu katanya, perbahasan mengenai hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut akan diberikan perhatian, tetapi mungkin lebih menjurus kepada kaedah perpisahan berbanding usaha untuk kembali bersama.

"Krisis politik di Perlis menjadi contoh ketegangan hubungan Pas-Bersatu susulan pertukaran Menteri Besar daripada Pas kepada Bersatu.

"Pada masa sama, kemunculan kekuatan baharu dalam politik Melayu menambahkan lagi persoalan mengenai nilai strategik Bersatu kepada Pas,"katanya.

Justeru itu katanya, Pas pastinya akan memikirkan apakah nilai tambah Bersatu kepada parti itu menjelang PRU16.

Beliau turut berpendapat, gagasan empat negeri atau SG4 yang melibatkan Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah pula bakal berdepan ujian lebih getir untuk membuktikan kemampuan pentadbiran negeri berkenaan sebagai model alternatif ke Putrajaya.

"Jika tiada pencapaian yang benar-benar memberi perubahan besar, sukar untuk menjual SG4 sebagai model pemerintahan nasional," katanya.

Mengulas kemasukan golongan profesional dan teknokrat dalam Pas, beliau berkata, golongan berkenaan tidak seharusnya hanya dijadikan wajah moden kepada parti itu bagi memperluaskan pasaran politiknya.

Sebaliknya, katanya, golongan teknokrat perlu diberikan ruang dan kuasa untuk membentuk dasar.

"Di sinilah saya melihat dilema terbesar Pas yang mungkin semakin hampir kepada kerajaan dari segi matematik politik, tetapi hakikatnya Malaysia bukan mencari kerajaan yang hanya pandai mengira kerusi.

"Malaysia mencari kerajaan yang tahu mengira masa depan. Pas-BN bersatu, Pas-Bersatu berpisah. SG4 diperkukuh dan profesional diperbanyakkan. Tapi selepas semua itu apa agenda Nasional yang ingin dibawa oleh Pas?," katanya.

Beliau berkata, penyatuan politik tidak seharusnya dianggap sebagai penyelesaian kepada masalah negara kerana rakyat lebih memerlukan agenda nasional yang jelas dan boleh dilaksanakan.

Menurutnya, persoalan berkenaan jauh lebih besar daripada PRU16 dan sekiranya muktamar Pas kali ini hanya menghasilkan formula siapa bersama siapa untuk mengambil alih Putrajaya, parti itu mungkin hanya berjaya menyusun sebuah gabungan pilihan raya.

"Namun, jika Muktamar Pas berani menghasilkan 'blueprint' pelan pembangunan Malaysia yang boleh diukur, dibiayai dan dipertanggungjawabkan, barulah Pas bergerak daripada parti yang mahu memerintah kepada parti yang benar-benar bersedia untuk memerintah.

"Kerana akhirnya, rakyat tidak makan penyatuan. Rakyat hidup dengan hasil pemerintahan," katanya.