SHAH ALAM - Kerajaan Selangor terbuka untuk memperhalusi sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak yang ikhlas mahu menyumbang kepada kestabilan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri itu.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, semua pihak bagaimanapun perlu mengelak membuat spekulasi terlalu awal berhubung kemungkinan penjajaran atau pembentukan gabungan politik baharu membabitkan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.
Menurutnya, apa juga bentuk persefahaman atau kerjasama perlu mempunyai titik pertemuan yang jelas, dibina atas keikhlasan serta akhirnya memberi manfaat secara langsung kepada rakyat khususnya masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat.
Saifuddin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu, Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham berhubung kemungkinan kerjasama politik di Selangor dan perkembangan di Pahang membabitkan sokongan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu terhadap kepimpinan Menteri Besar Pahang.
Mengulas lanjut katanya, keputusan pucuk pimpinan Bersatu merestui sokongan dua ADUN mereka terhadap Menteri Besar Pahang atas pertimbangan kestabilan politik dan kebajikan rakyat membuktikan ruang kerjasama merentasi garis politik sentiasa boleh diterokai apabila wujud asas serta matlamat yang jelas.
Bagaimanapun katanya, ketika ini belum ada sebarang perbincangan serius atau rasmi mengenai perkara berkenaan di Selangor.
Jelas beliau, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin sebelum ini juga telah menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak berdasarkan kestabilan politik dan kepentingan rakyat, namun pada masa ini belum ada sebarang perbincangan serius atau rasmi mengenai perkara tersebut.
"Keutamaan kerajaan negeri sekarang ialah untuk terus mentadbir, bekerja dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," tambah beliau.
Menurutnya, perhatian ketika ini perlu diberikan kepada persediaan Belanjawan Selangor 2027 yang bakal dibentangkan Menteri Besar kerana ia lebih penting kepada rakyat dalam menentukan hala tuju pembangunan negeri, program kesejahteraan serta keutamaan pentadbiran bagi tahun hadapan.
"Politik boleh terus dibincangkan pada waktunya, (tetapi) hari ini, rakyat mahu kerajaan bekerja, menyelesaikan masalah mereka dan memastikan pembangunan negeri terus bergerak.
"Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mahu bersama-sama mendukung agenda tersebut dengan ikhlas, pintu sentiasa terbuka untuk berbincang," jelas beliau.