KUALA LUMPUR - Tiga bekas Perdana Menteri hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini serentak pada Khamis, masing-masing bagi menghadapi prosiding undang-undang berbeza.
Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi tumpuan apabila ketiga-tiganya dijadualkan berada di mahkamah pada hari yang sama.
Najib terlebih dahulu akan meneruskan prosiding saman sivil berbilion ringgit yang difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadapnya serta beberapa defendan lain di Mahkamah Tinggi.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Redzuan Idrus itu dijangka menyentuh keterangan berkaitan transaksi serta keputusan yang menjadi antara perkara utama dalam tuntutan berkenaan.
Dalam prosiding berasingan, Muhyiddin pula akan meneruskan perbicaraan berkaitan tujuh pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan program Jana Wibawa.
Presiden Bersatu itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti berkenaan, selain tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta.
Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Md Nurdin.
Sementara itu, perhatian turut terarah kepada Ismail Sabri yang dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen bagi pertuduhan berkaitan pengisytiharan aset.
Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun itu dijangka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, berhubung dakwaan gagal mengisytiharkan aset seperti yang dikehendaki agensi antirasuah.
Prosiding terhadap Ismail Sabri sebelum ini ditangguhkan susulan masalah kesihatan yang dialaminya selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dan menjalani prosedur pemasangan perentak jantung.
Kes itu mendapat perhatian selepas SPRM mendedahkan penyitaan RM170 juta wang tunai dalam pelbagai mata wang serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta.
Rampasan berkenaan dibuat sebagai sebahagian daripada siasatan yang turut membabitkan beberapa bekas pegawai kanan Ismail Sabri.