KULAI - Tiga individu yang ditahan di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berhubung video tular aksi menutup jalan awam dan berlumba motosikal di Lebuhraya Linkedua, direman di Mahkamah Majistret Kulai pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, seorang daripada suspek direman selama empat hari, manakala dua lagi direman sehari.
"Majistret R Salini membenarkan permohonan reman yang dibuat ke atas tiga suspek yang ditahan awal pagi Rabu.
"Seorang direman empat hari sehingga Sabtu ini, manakala dua lagi hanya direman satu hari," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, perintah reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap ketiga-tiga suspek berusia antara 24 hingga 41 tahun dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada 23 Ogos lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, lapan lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 45 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu ditahan pada jam 11.54 pagi, Ahad lalu.
Kesemua suspek, termasuk seorang pempengaruh permotoran, kemudian direman empat hari oleh Mahkamah Kulai pada Isnin bagi membantu siasatan.
Dengan penahanan tiga lagi individu hari ini, jumlah keseluruhan yang ditahan setakat ini meningkat kepada 11 orang.
Sebelum ini, video berdurasi 33 saat yang tular di media sosial memaparkan aksi dua penunggang motosikal berlumba haram di lebuh raya berkenaan kira-kira jam 7 pagi.
Kejadian dipercayai berlaku dari Kilometer 33 susur Tol Senai hingga Kilometer 31 susur Johor Premium Outlet (JPO).
Rakaman itu turut menunjukkan beberapa individu menutup laluan lebuh raya bagi memberi ruang kepada perlumbaan berkenaan.
Mereka kemudian dilihat membakar mercun bagi meraikan tamat perlumbaan, manakala beberapa individu termasuk pempengaruh berkenaan berada di bahu jalan selepas perlumbaan itu berakhir.