ANCAMAN terhadap golongan belia tidak lagi hanya berkisar soal penyalahgunaan dadah.
Penyakit jantung juga semakin wajar diberi perhatian apabila faktor risiko seperti merokok, pemakanan tidak sihat, obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi dan kurang aktiviti fizikal semakin menular pada usia muda.
Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan 7,465 pesakit penyakit jantung berusia 40 tahun dan ke bawah direkodkan pada 2022.
Angka ini sepatutnya menjadi isyarat jelas bahawa penyakit jantung bukan lagi masalah eksklusif golongan berusia.
KKM pada 2025 melaksanakan saringan terhadap ratusan ribu individu berusia 18 hingga 30 tahun, dengan sebahagian dikesan mempunyai tekanan darah dan paras glukosa tinggi, walaupun majoritinya tidak mempunyai sejarah penyakit tidak berjangkit sebelum itu.
Di peringkat global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan penyakit kardiovaskular menjadi penyebab utama kematian dunia dengan anggaran 19.8 juta kematian pada 2022, bersamaan kira-kira 32 peratus daripada keseluruhan kematian global.
Sebanyak 85 peratus daripadanya berpunca daripada serangan jantung dan strok.
Golongan bawah 40 tahun tidak seharusnya menganggap penyakit jantung sebagai ancaman hari tua.
Corak pemakanan tinggi garam, gula dan lemak, kurang aktiviti fizikal, merokok selain peningkatan berat badan boleh mencetuskan faktor risiko seperti tekanan darah, gula serta kolesterol tinggi sejak usia muda.
Justeru, pemeriksaan kesihatan secara berkala perlu dinormalisasikan dalam kalangan belia, terutama mereka yang merokok, mempunyai berat badan berlebihan atau mengamalkan gaya hidup sedentari.
Pencegahan juga tidak boleh menunggu selepas muncul simptom.
Aktiviti fizikal secara konsisten, pemakanan seimbang, berhenti merokok dan kawalan berat badan ialah langkah asas yang boleh mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.