Premium tanah RM1,000: Wajar atau tidak?

Iklan
Keputusan kerajaan menetapkan premium tanah KLSCAH pada kadar RM1,000 bagi pembaharuan pajakan selama 99 tahun mencetuskan polemik.

KEPUTUSAN kerajaan menetapkan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada kadar RM1,000 bagi pembaharuan pajakan selama 99 tahun mencetuskan polemik dan persoalan besar.

Tidak dinafikan usaha mengekalkan bangunan bersejarah yang mempunyai nilai warisan dan kepentingan kepada masyarakat wajar diberikan pertimbangan. Tambahan pula, KLSCAH merupakan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan.

Iklan
Iklan

Namun, adakah alasan tanah berkenaan tidak lagi mempunyai nilai komersial sudah cukup untuk membolehkan premium yang dianggarkan RM4.67 juta diturunkan sehingga hanya RM1,000?

Pengurangan hampir keseluruhan nilai tersebut bukan kecil, malah boleh menimbulkan persepsi bahawa kerajaan terlalu bermurah hati dalam memberikan keistimewaan kepada pihak tertentu.

Iklan

Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong menyifatkan keputusan itu sebagai mengejutkan dan tidak masuk akal. Beliau mempersoalkan asas pengurangan terlalu besar itu sedangkan kadar asal RM4.67 juta pastinya ditetapkan berdasarkan penilaian tertentu.

Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira status warisan KLSCAH, sekatan penggunaan tanah serta kedudukannya sebagai pertubuhan bukan berasaskan keuntungan.

Iklan

Penjelasan itu perlu dihormati, namun kerajaan tidak seharusnya mengharapkan masyarakat mudah menerima keputusan tersebut.

Persoalannya bukan kerana KLSCAH layak dibantu, tetapi sejauh mana bantuan itu munasabah dan telus. Jika pertimbangan khas boleh diberikan kepada sebuah institusi, apakah mekanisme sama turut terbuka kepada pertubuhan lain yang mempunyai kepentingan warisan dan sosial?

Justeru, kerajaan perlu memperincikan kaedah penilaian serta kriteria pemberian pengurangan premium itu supaya tidak dilihat sebagai layanan Istimewa dan tidak timbul tanggapan bahawa aset awam dilepaskan pada harga terlalu rendah.

Membantu pemeliharaan warisan adalah wajar tetapi kemurahan hati kerajaan juga mesti mempunyai asas dan batasnya.