Kutip derma, tunjuklah penyata

Iklan
Sumbangan wang daripada orang ramai bukan sekadar untuk dikumpul, tetapi mesti dipertanggungjawabkan. Foto hiasan

PENGUMUMAN Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa audit kewangan kutipan Larian Kesyukuran sudah siap membawa mesej yang wajar diperhatikan iaitu wang sumbangan orang ramai bukan sekadar untuk dikumpul, tetapi mesti dipertanggungjawabkan.

Menerusi larian hampir 170 kilometer dari Putrajaya ke Muar pada Julai lalu, beliau menyasarkan RM200,000, namun jumlah kutipan yang diumumkan setakat September mencecah RM707,000.

Iklan
Iklan

Dana itu bertujuan membantu penduduk, termasuk melalui bakul makanan dan peranti pembelajaran.

Kini beliau mempamerkan dokumen penyata kewangan serta berjanji menyiarkan laporan penuh.

Iklan

Pada 2021, beliau pernah mengumumkan pelibatan Ernst & Young bagi menyemak program komputer riba dan tablet berjumlah RM872,720.

Namun, ukuran ketelusan hanya dapat dibuat selepas kandungan laporan serta pengesahan audit boleh diteliti.

Iklan

Perkembangan ini berlaku ketika kutipan Tabung Solidariti bagi membayar denda RM50 juta Datuk Seri Najib Tun Razak turut menjadi perhatian.

UMNO menyatakan kesediaan untuk diaudit dan memberikan butiran transaksi kepada pihak berkuasa.

Kesediaan itu wajar disusuli langkah konkrit. Lebih-lebih lagi, kutipan berkenaan melibatkan sumbangan individu, ahli parti dan pelbagai peringkat organisasi.

Rekod penerimaan serta penyaluran wang perlu dapat dijelaskan secara teratur.

Malaysia pernah mengumpul RM202.72 juta melalui Tabung Harapan. Kerajaan kemudian mengumumkan penggunaan dana itu, termasuk faedah terkumpul, bagi pembayaran berkaitan hutang 1MDB.

Contoh tersebut memperlihatkan kepentingan menjelaskan bukan sahaja jumlah yang diterima, malah ke mana wang dibelanjakan.

Tidak semua dana mempunyai tujuan atau keperluan pendedahan yang sama. Maklumat peribadi penyumbang kecil juga mesti dilindungi.

Namun, pengurus kutipan besar sewajarnya merekod sumber dana, kos pengurusan, penggunaan sebenar dan baki secara teratur, dengan pemeriksaan bebas yang sesuai.

Kepercayaan penyumbang bukan cek kosong. Jika rakyat diminta menderma atas nama kebajikan, solidariti atau perjuangan, penganjur juga mesti bersedia membuka penyata kepada penelitian sewajarnya.

Ketelusan tidak berhenti apabila sasaran kutipan tercapai.