TRAGEDI kepala air yang berlaku di Sungai Pertak, Kampung Pertak, Hulu Selangor sekali lagi mengingatkan kita bahawa keindahan sungai dan kawasan rekreasi boleh bertukar menjadi perangkap maut dalam sekelip mata.
Dalam kejadian Isnin lalu, lapan lelaki dihanyutkan arus deras ketika berada di kawasan berkenaan. Lima ditemukan meninggal dunia, manakala tiga lagi masih hilang ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada Rabu.
Usaha pasukan penyelamat yang menggunakan dron, bot dan Unit Anjing Pengesan wajar dihargai. Pencarian di kawasan sungai bukan tugas mudah, apatah lagi apabila arus, keadaan muka bumi dan risiko kepala air boleh mengancam keselamatan anggota sendiri.
Penggunaan teknologi membantu memperluas pemantauan, namun setiap operasi tetap menuntut ketelitian, koordinasi dan masa.
Tragedi ini tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai satu lagi berita kehilangan nyawa akibat bencana alam. Persoalan lebih besar ialah sejauh mana kesedaran dan langkah pencegahan kita benar-benar mencukupi untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
Kepala air boleh berlaku secara tiba-tiba, termasuk ketika cuaca di lokasi rekreasi kelihatan baik kerana hujan mungkin turun di kawasan hulu.
Justeru, pengunjung tidak boleh menjadikan keadaan langit yang cerah sebagai jaminan keselamatan. Sebarang perubahan paras air, arus semakin deras atau bunyi deruan luar biasa perlu dianggap amaran untuk segera meninggalkan sungai.
Pihak berkuasa dan pengendali kawasan rekreasi pula perlu memastikan papan tanda amaran jelas, pemantauan berkala serta sistem amaran awal berfungsi.
Penguatkuasaan larangan memasuki kawasan berisiko juga tidak boleh bermusim sebaliknya mesti dilaksanakan secara konsisten.
Dalam soal keselamatan, sikap berhati-hati bukan pilihan tetapi keperluan. Jangan tunggu tragedi meragut lebih banyak nyawa sebelum kita benar-benar mengambil iktibar.
Sungai sepatutnya menjadi tempat menikmati alam bukan lokasi keluarga menanti kepulangan insan tersayang yang tidak lagi kembali. Semua pihak perlu bertindak secara konsisten dan bersepadu.