Suami, anak 4 tahun ditemukan mati: Isteri, kekasih disyaki dalang pembunuhan

Iklan
Seorang wanita dan lelaki dipercayai kekasihnya ditahan bagi membantu siasatan pembunuhan suami serta anak lelaki berusia empat tahun di Bengaluru, India. Foto hiasan janaan AI

BENGALURU - Seorang wanita dan lelaki yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengannya ditahan bagi membantu siasatan pembunuhan suami wanita itu serta anak lelakinya berusia empat tahun di kediaman mereka di Chikkabanavara, Bengaluru, India.

Kes itu terbongkar pada 17 Ogos lalu selepas wanita terbabit, Harini menghubungi polis dan mendakwa menemui suaminya, Abhinandan, serta anak mereka dalam keadaan tidak bernyawa di rumah.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, siasatan polis menimbulkan beberapa persoalan apabila sistem kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman berkenaan didapati dimatikan kira-kira jam 10 malam pada 16 Ogos.

Polis turut mendapati data dalam telefon bimbit Harini termasuk rekod panggilan dan mesej telah dipadam, manakala tiada tanda rumah berkenaan dipecah masuk.

Iklan

Menurut laporan media tempatan, Harini dan Abhinandan berkahwin sejak 2021, namun hubungan mereka dikatakan semakin tegang sehingga pasangan itu dilaporkan tidur di bilik berasingan sejak kira-kira dua tahun lalu.

Polis mengesyaki Harini mempunyai hubungan sulit dengan seorang lelaki dikenali sebagai Vinay Kumar.

Iklan

Abhinandan dilaporkan mula mengesyaki hubungan tersebut dan kira-kira 15 hari sebelum kematiannya, dia dikatakan pernah mendapatkan bantuan polis untuk memperoleh rekod panggilan isterinya.

Pasangan suami isteri itu sekali lagi bertengkar pada 14 Ogos sebelum Harini didakwa meminta bantuan Vinay untuk membunuh Abhinandan.

Siasatan awal mengesyaki pembunuhan berlaku lewat malam 16 Ogos selepas Vinay didakwa memasuki rumah tersebut ketika sistem CCTV telah dimatikan.

Abhinandan dipercayai diserang dan dicekik, namun polis masih menyiasat urutan sebenar kejadian.

Lebih tragis, anak lelaki pasangan itu yang berusia empat tahun turut dibunuh selepas dipercayai terjaga dan mungkin menyaksikan kejadian tersebut.

Bagaimanapun, Harini dan Vinay dilaporkan memberikan keterangan bercanggah mengenai individu yang bertanggungjawab membunuh kanak-kanak berkenaan.

Polis kini menyiasat peranan masing-masing dalam kedua-dua kematian itu selain meneliti kemungkinan faktor harta sebagai satu lagi motif.

Siasatan termasuk dakwaan bahawa kematian Abhinandan mungkin membolehkan Harini memperoleh harta keluarga termasuk tanah seluas kira-kira 1.2 hektar di Kunigal.

Bagaimanapun, perkara itu masih merupakan teori siasatan dan belum dibuktikan.

Polis meneruskan siasatan bagi menentukan motif serta kronologi sebenar pembunuhan berganda tersebut. - Agensi