'Saya jadi ‘sponge’ serap segala kecaman terhadap suami' - Isteri Ayob Khan

Iklan
Presiden CiJA, Safeek Affendy (kiri)menyampaikan cenderamata kepada Ayob Khan dan Zalena pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Kata negatif, kecaman dan fitnah terhadap Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bagai sudah lali dihadapi isterinya, Puan Sri Zalena Mohd Ariffin.

Selepas lebih tiga dekad mendampingi Ayob Khan, Zalena memilih menjadi ‘benteng’ yang menyerap kecaman tersebut selain cukup mengenali peribadi, prinsip dan cara suaminya menjalankan tugas.

Iklan
Iklan

Zalena berkata, mereka juga pernah sama-sama berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya memahami tuntutan serta tekanan dalam kerjaya berkenaan, namun mempunyai persefahaman untuk tidak mencampuri urusan profesional antara satu sama lain.

Iklan

“Kadang-kadang saya menjadi seperti 'sponge'. Banyak kecaman, kata-kata negatif dan fitnah terhadap suami (Ayob Khan) yang terpaksa saya dengar dan terima.

“Sekali pun saya mendengar semua itu, saya tidak memberitahunya. Apa yang penting ialah saya mahu dia terus fokus terhadap tugas dan tanggungjawabnya,” katanya ketika ditemui pada majlis makan tengah hari bersama Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) di sini pada Selasa.

Iklan

Tambahnya, Ayob Khan juga bukan seorang yang gemar membawa pulang segala tekanan dan masalah yang dihadapinya ketika menjalankan tugas.

Sebagai isteri, Zalena bagaimanapun memahami cabaran yang perlu dilalui suaminya, termasuk ketika berdepan ancaman keselamatan sepanjang menjalankan tugas.

“Saya sentiasa risau tentang keselamatannya, malah keselamatan keluarga juga.

Pada Selasa, ia hari yang cukup bermakna buat pasangan berkenaan apabila Ayob Khan menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448H/2026 bagi kategori Tokoh Wira Negara.

Meskipun sedang menjalani rawatan kanser paru-paru tahap tiga, Zalena tetap menghadirkan diri bagi memberikan sokongan moral kepada suaminya pada detik berkenaan.

Malah, beliau baru menjalani sesi kemoterapi ke-18 semalam (Isnin) dan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran doktor untuk menghadiri majlis berkenaan.

“Saya gagahkan diri kerana mahu memberikan sokongan moral kepada suami,” katanya.

Sementara itu, Ayob Khan yang juga mantan Timbalan Ketua Polis Negara berkata, pengiktirafan yang diterimanya bukan sekadar penghormatan peribadi, sebaliknya penghargaan yang cukup bermakna kepada PDRM.

Menurutnya, meskipun sudah menamatkan perkhidmatan dan tidak lagi menggalas amanah seperti sebelum ini, beliau berharap pengiktirafan itu menjadi teladan kepada seluruh pasukan untuk berkhidmat dengan penuh integriti dan dedikasi.

“Saya hanya dimaklumkan menerima anugerah ini pada empat hari lalu. Bagi saya ini bukan untuk saya sahaja tetapi PDRM.

“Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana memilih saya untuk menerima pengiktirafan ini,” katanya.