Sumber air terhad, bomba berdepan cabaran padam kebakaran paya gambut

Iklan
Sumber air terhad antara cabaran utama anggota bomba memadam kebakaran hutan paya gambut seluas 51.4 hektar di Jalan Bypass Sebana Cove-Punggai, Pengerang.

KOTA TINGGI - Tiupan angin kencang, cuaca panas dan sumber air yang terhad menjadi cabaran utama anggota bomba memadam kebakaran hutan paya gambut seluas 51.4 hektar di Jalan Bypass Sebana Cove-Punggai, Pengerang, di sini.

Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Baharuddin Idris berkata, keadaan cuaca kering dan angin kencang ketika ini menyebabkan api berisiko merebak dengan lebih pantas selain menyukarkan operasi pemadaman di kawasan hutan dan paya.

Iklan
Iklan

"Kebakaran membabitkan kawasan seluas 51.4 hektar yang dibahagikan kepada dua sektor iaitu Sektor A seluas 35.6 hektar dan Sektor B seluas 15.8 hektar.

Menurutnya, seramai 21 anggota dan petugas terbabit dalam operasi itu membabitkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Iklan

"Pasukan bomba ketika ini melaksanakan kaedah pemadaman secara direct attack bagi mengekang kebakaran daripada terus merebak.

"Kita juga menunggu bantuan jentera pengorek (excavator) daripada agensi lain yang dijangka tiba tengah hari ini bagi membantu membina benteng pemisah api (fire break) di kawasan terbabit.

Iklan

"Jengkaut sedia ada agak kecil dan kita memerlukan jengkaut jenis amfibia yang lebih besar untuk meredah kawasan hutan serta paya di Sektor A," katanya.

Operasi pemadaman di kawasan paya bakau di Punggai, Pengerang.

Baharuddin berkata, permohonan bantuan daripada Unit Udara Bomba turut dibuat bagi membantu operasi pemadaman, namun penerbangan ke Johor masih belum dapat dipastikan berikutan cuaca panas yang melanda seluruh negara.

"Kebakaran ini turut menjejaskan sebahagian tanah pertanian yang belum diusahakan, namun penempatan penduduk dilaporkan selamat kerana berada antara tiga hingga lima kilometer dari lokasi kejadian.

"Jalan Bypass Sebana Cove ditutup sepenuhnya kepada orang awam sejak kira-kira jam 2 petang semalam bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya selain memudahkan operasi pemadaman," katanya.

Dalam pada itu, ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin berkata, penduduk berhampiran khususnya di Taman Bayu Damai dan Punggai diminta mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama tidak menggunakan laluan yang telah ditutup.

Beliau turut menasihatkan penduduk memakai pelitup hidung dan mulut, memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) serta mengelak melakukan pembakaran terbuka.

"Saya sudah panjangkan isu kebakaran hutan paya gambut yang kerap berlaku di Pengerang kepada kerajaan negeri.

"Tindakan segera sudah dilakukan apabila jabatan berkaitan seperti Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya dan Syarikat Air Johor (SAJ) menghantar jentera bagi membantu operasi pemadaman di sini," katanya.