Kanak-kanak maut dirempuh lori dipandu laju, orang ramai bakar kenderaan

Iklan
Orang ramai bertindak membakar lori yang merempuh kanak-kanak hingga maut

JALGAON – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut selepas dirempuh sebuah lori yang dipandu laju di Jalgaon, Maharashtra.

Kejadian berlaku berhampiran Praja Nagar ketika mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari sebuah kuil sempena perayaan Kanwar Yatra yang sedang berlangsung.

Iklan
Iklan

Menurut saksi, mangsa baru keluar dari kawasan kuil selepas beribadat apabila sebuah lori yang dipandu laju dan dipercayai hilang kawalan merempuhnya.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan

Kejadian itu mencetuskan kekecohan apabila orang ramai yang berang berkumpul di lokasi berkenaan sebagai tanda bantahan terhadap kematian kanak-kanak terbabit.

Orang ramai meletakkan jasad mangsa di atas jalan sebelum membakar lori berkenaan.

Iklan

Pemandu lori turut mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan itu dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, orang ramai yang berada di lokasi membantah tindakan berkenaan dan mendesak supaya pemandu lori dibawa semula ke tempat kejadian serta diserahkan kepada mereka.

Keadaan menjadi tegang apabila orang ramai menghalang anggota bomba dan polis daripada memadamkan kebakaran ketika lori tersebut terus terbakar.

Polis kemudian meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan bagi meredakan keadaan.