HANYA bermula dengan tiga biji kelapa, satu tin susu pekat dan sebotol perisa sirap, perniagaan manisan tradisional masyarakat India yang diusahakan dari dapur kecil sebuah rumah enam tahun lalu kini berkembang menjadi sumber pendapatan utama dengan jualan mencecah kira-kira RM50,000 sebulan.
Di sebalik kejayaan itu, siapa sangka pengusahanya ialah seorang wanita Melayu yang memilih untuk mengangkat warisan manisan tradisional India sebagai identiti perniagaannya.
Berbekalkan kebolehan bertutur dalam bahasa Tamil serta dibesarkan dalam persekitaran dua budaya, iaitu Melayu dan India, usahawan muda Sulaiha Abdullah, 27, membuktikan bahawa makanan mampu menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum.
Namun, perjalanan tersebut bukanlah mudah. Sulaiha membesar dalam keluarga yang hidup serba kekurangan, sekali gus mendorongnya untuk bangkit mengubah nasib keluarga.
Berkongsi kisahnya, Sulaiha berkata, idea menjual manisan India tercetus ketika dia mencari jalan untuk membantu menambah pendapatan keluarga.
"Bila berniaga secara kecil-kecilan, jika asyik mengganti produk yang rosak, memang akan rugi. Jadi, saya mencari produk yang boleh bertahan sekurang-kurangnya dua minggu untuk penghantaran dan tidak mudah pecah," katanya kepada Sinar Bisnes.
Akhirnya, Sulaiha yang juga ibu kepada seorang anak mendapat ilham untuk menjual manisan India, iaitu coconut candy, selepas melihat potensi pasaran yang tinggi bagi produk tersebut.
"Waktu itu saya memang tidak ada duit. Mak meminjam wang daripada kilang tempat dia bekerja untuk membeli tiga biji kelapa, susu pekat dan perisa sirap sebelum membawanya pulang dengan menaiki bas.
"Mak saya berketurunan India. Dia belajar membuat coconut candy daripada jirannya ketika kecil dan kemudian mengajar saya. Selepas dua minggu, saya terus menjualnya dan membuat siaran langsung semasa memasak. Tak sangka ramai yang mahu membeli ketika itu," katanya.
Hari demi hari, perniagaan yang diusahakan mula mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat India, malah turut menarik pelanggan Melayu dan kaum lain.
"Permintaan semakin meningkat. Ketika itu saya hanya membuatnya bersama emak. Emak sangat yakin perniagaan ini boleh berkembang lebih jauh.
"Jadi, saya minta emak berhenti kerja kerana saya sudah mampu menjaganya melalui pendapatan daripada perniagaan ini," katanya.
Namun, panas yang disangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Perniagaan yang diusahakan berdepan cabaran apabila Sulaiha diuji dengan masalah cirit-birit dan muntah yang berpanjangan sehingga terpaksa berulang-alik ke hospital selama tiga bulan.
"Saya menggadaikan semua barang kemas untuk membayar sewa rumah. Ketika itu saya berasa sangat tertekan.
"Mak sudah berhenti kerja kerana yakin dengan perniagaan saya. Suami pula sanggup berhenti kerja untuk menjaga saya dan membantu menguruskan perniagaan. Jadi, saya rasa saya perlu bangkit semula," katanya.
Kini, berbekalkan semangat yang tidak pernah luntur, Sulaiha mampu menarik nafas lega apabila berjaya menggajikan beberapa pekerja dan beroperasi di sebuah rumah kedai yang dijadikan kilang bagi proses pengeluaran produk.
Daripada hanya menjual coconut candy, dia kini menawarkan 12 lagi jenis manisan dengan pelbagai perisa termasuk ladoo, gulab jamun, rasmalai, mysorepak, kallu urundhai, nei urundhai, palkova susu dan palkova coklat.
"Saya bersyukur kerana hasil perniagaan ini membolehkan saya menyelesaikan hutang-hutang emak, menghantar ayah menunaikan umrah, membelikan ibu bapa kereta dan menyara mereka tanpa perlu lagi risau tentang masalah kewangan seperti dahulu," katanya.
Sulaiha mengakui latar belakang keluarganya hasil perkahwinan campur memberikan kelebihan untuk meneroka pasaran dengan lebih luas, lebih-lebih lagi selepas video dirinya berniaga bersama nenek menjadi tular di TikTok baru-baru ini.
"Saya menggunakan bahasa Tamil untuk berniaga. Budaya India banyak membantu dalam perniagaan kerana saya menjual manisan tradisional masyarakat India.
"Saya juga dapat meyakinkan pelanggan Melayu. Ramai yang membeli sekadar untuk mencuba, namun akhirnya mereka menyukainya," katanya.
Walaupun semakin dikenali, dia mengakui pernah berdepan kecaman kerana dianggap tidak layak menjual manisan India hanya kerana berbangsa Melayu.
Namun, baginya makanan tidak mengenal sempadan kaum.
"Kalau orang Malaysia boleh menikmati makanan Korea, kenapa kita tidak boleh saling berkongsi makanan antara budaya? Kita hidup dalam sebuah negara yang sama," ujarnya.